Kes saman fitnah Sivarasa terhadap Tengku Adnan selesai

Saman fitnah
Saman fitnah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah dikemukakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa terhadap Treasury Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Latheefa Koya, yang mewakili Sivarasa berkata kes saman itu selesai selepas Tengku Adnan, selaku defendan dalam kes saman berkenaan menarik balik kenyataannya yang dikeluarkan pada 1 Jun 2017, yang menjadi asas dalam tuntutan saman tersebut.

"Anak guam saya tidak berhasrat untuk memanjangkan isu berkenaan, jadi kes selesai.



“Plaintif (Sivarasa) juga menarik balik tuntutan saman terhadap defendan tanpa sebarang perintah mengenai kos," kata peguam itu kepada pemberita selepas hadir pada pengurusan kes berkenaan dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang turut dihadiri peguam Datuk S. Satharuban mewakili Tengku Adnan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin politik itu tidak hadir dalam prosiding hari ini.

Mahkamah kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes saman berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Satharuban pula berkata tarikh perbicaraan kes saman yang ditetapkan sebelum ini selama tiga hari bermula 19 November telah dilapangkan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes.

Pada 13 Jun 2017, Sivarasa, yang juga Anggota Parlimen Sungai Buloh menyaman Tengku Adnan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika berucap pada program berbuka puasa di ruang parkir Masjid Jamek Alam Shah, Cheras.

Dalam pernyataan tuntutan, Sivarasa mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau tidak menghormati tempat ibadat masyarakat Islam apabila berpolitik di dalam masjid, tidak menghormati kesucian masjid atau surau dalam bulan Ramadan dan kenyataan fitnah itu telah diterbitkan semula di laman web Malaysiakini, selain turut disiarkan dalam media cetak dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa Tengku Adnan, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mempunyai pengetahuan berhubung kenyataan plaintif pada 31 Mei 2017, yang menafikan beliau menyampaikan sebarang ceramah politik dalam satu majlis di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang pada 24 Mei tahun sama.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am dan teruk, faedah dan kos serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula perkataan fitnah yang sama terhadapnya. –Bernama