Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian kembali lagi

Poster Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ke-3. Gambar kecil: Nik Justin
Poster Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ke-3. Gambar kecil: Nik Justin
A
A
A

SHAH ALAM - Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian kembali lagi untuk edisi ketiga bermula hari ini bersempena wajah baharu Sinar Harian.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, peraduan tersebut akan bermula 1 Jun hingga 26 Julai dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi pembaca dengan jumlah keseluruhan RM50,000.

“Kali ini kita memudahkan lagi penyertaan semua pembaca dengan tiada lagi soalan terkumpul. Peserta hanya perlu melengkapkan satu borang penyertaan dan kumpul bersama lima kepala akhbar Sinar Harian setiap minggu termasuk Sinar Ahad.

“Jadi kita nak menggalakkan lagi lebih banyak penyertaan dan lebih ramai yang akan memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan.

“Lebih menariknya tahun ini pembaca boleh menyertai penyertaan tanpa had dan boleh menghantar seberapa banyak penyertaan yang mereka mahukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nik Justin berkata, konsep pemilihan pemenang juga berdasarkan kepada dua kriteria, antaranya dengan membuat cabutan bertuah pada hari pengumuman, 31 Julai bersempena ulang tahun ke-16 Sinar Harian.

“Selain itu, tidak kira kalah atau menang, semua peserta yang menyertai peraduan ini akan mendapat akses percuma Sinar Premium selama sebulan. Jadi tidak ada yang akan pulang dengan tangan kosong,” ujarnya.

Tambah beliau, hadiah yang ditawarkan melalui Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian ini juga termasuk wang tunai bernilai RM15,000 untuk tempat pertama, RM5,000 kedua dan RM2,000 untuk tempat ketiga.

“Masing-masing akan menerima hadiah iringan daripada penaja dan Sinar Harian manakala hadiah saguhati berupa wang tunai RM500 turut ditawarkan kepada 20 peserta, berbanding lima hadiah saguhati tahun lalu,” jelasnya.

Justeru, jom rebut peluang keemasan ini.

Untuk keterangan lanjut, sila layari media sosial rasmi Sinar Harian dan dapatkan akhbar Sinar Harian di kedai-kedai berhampiran atau memuat turun aplikasi Sinar Harian untuk informasi terkini dengan hanya satu klik sahaja.