Mujahid dituntut perjelas isu Tabung Haji

Mujahid - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mujahid - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof diminta untuk memberi penjelasan mengapa syarikat tujuan khas (SPV) yang memegang sejumlah aset Lembaga Tabung Haji diuruskan oleh salah satu syarikat milik Menteri Kewangan (MOF) (Diperbadankan), Prokhas Sdn. Bhd yang didakwa diketuai orang bukan Islam.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, penjelasan tersebut amat penting memandangkan ia melibatkan aset orang Islam berjumlah RM19 bilion.

"Tindakan tersebut menunjukkan bahawa menteri yang bertanggungjawab menjaga Tabung Haji tidak ada kemampuan untuk menunjukkan bahawa umat Islam berkemampuan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul dalam agensi itu.

"Mengapa perlu serahkan kepada kementerian lain yang kita tidak tahu bagaimana agenda mereka untuk susun atur semula pengurusan Tabung Haji yang sekarang kita dengar sedang mencairkan aset-aset yang ada untuk dijadikan tunai dengan alasan kerugian," katanya kepada Sinar Harian, semalam

Mengulas lanjut, Awang berkata, Tabung Haji sepatutnya menubuhkan 'task force' untuk melihat semula pengurusan anak-anak syarikatnya tanpa perlu menyerahkan kepada kementerian lain.

"Tiba-tiba hari ini kita dimaklumkan bahawa SPV telah dikawal selia oleh anak syarikat di bawah MOF yang mana hari ini tersebar bahawa ia diketuai oleh orang bukan Islam.

"Kita tidak ada masalah dengan itu (diuruskan orang bukan Islam) dan kita tidak nafikan kepakarannya namun tanpa roh Islam, bagaimana beliau mampu menjaga hak dan keperluan orang Islam," katanya.

Beliau turut berkata, sebagai seorang menteri, perlu mempunyai kefahaman dan roh untuk menjaga harta umat Islam bukannya hanya bergantung kepada kepandaian semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Adakah menteri tidak mampu menubuhkan sebuah syarikat yang sepatutnya di bawah menteri agama untuk melihat kembali kelemahan-kelemahan yang ada dalam Tabung Haji.

"Pada masa sama, kita juga boleh melantik orang Islam yang mempunyai kepakaran untuk melihat masalah yang timbul dan seterusnya memperbaiki dan memulihkan permasalahan yang timbul," katanya.