Daftar sebelum April: Perkeso Muar

Redhuan memberikan penerangan kepada salah seorang majikan berhubung Ops Pemutihan yang kini giat dilaksanakan.
Redhuan memberikan penerangan kepada salah seorang majikan berhubung Ops Pemutihan yang kini giat dilaksanakan.
A
A
A

MUAR - Perkeso menyeru majikan di sekitar daerah Muar dan Tangkak untuk segera mendaftar pekerja yang masih belum mencarum.

Pengurus Perkeso Cawangan Muar, Redhuan Muda berkata, tempoh pendaftaran yang dibuka sehingga hujung bulan ini perlu dimanfaatkan sebelum majikan berdepan denda sekiranya gagal mencarum pekerja bermula April nanti.

Katanya, melalui Ops Pemutihan yang sedang giat dilaksanakan ketika ini, 5,000 risalah berkaitan maklumat caruman pekerja diedarkan di setiap perusahaan terpilih bagi dua daerah ini.

"Sepanjang bulan ini, Perkeso beri peluang kepada mana-mana majikan yang masih belum mendaftar dengan kita untuk berbuat demikian segera tanpa dikenakan sebarang tindakan. "Ini sebagai tempoh masa untuk majikan menjalankan tanggungjawab dan hak pekerja mereka sebelum tempoh pemutihan tamat iaitu pada 31 Mac ini," katanya.

Terdahulu, beliau ditemui ketika mengadakan Ops Pemutihan di sekitar Sungai Abong, di sini.

Menurut Redhuan, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat majikan yang masih berdegil apabila pihaknya melancarkan Ops Kesan secara besar-besaran bermula April ini.

"Tindakan undang-undang termasuk pendakwaan di mahkamah boleh diambil ke atas mana-mana majikan yang didapati gagal berdaftar dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara atau denda bagi setiap satu pendakwaan atau kedua-duanya sekali.

"Justeru, mana-mana majikan yang masih tidak mendaftar perlu berbuat demikian dengan menghadirkan diri di pejabat Perkeso Muar atau menghubungi kami di talian hotline ataupun layari laman web rasmi kami sepanjang tempoh pemutihan ini berjalan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Redhuan, hebahan itu kini giat dilakukan bagi memberikan maklumat kepada seluruh majikan berhubung penguatkuasaan yang bakal diambil bermula bulan hadapan.

“Bagi kesemua lima siri lawatan ini, Perkeso Muar mensasarkan lokasi di premis-premis baharu dan perusahaan yang baru beroperasi. Setakat ini, kita berpuas hati kerana rata-rata majikan yang dikunjungi telah mencarum pekerja mereka. Namun bagi yang belum berbuat demikian, maklumat perusahaan telah diambil untuk semakan lanjut.

“Sekiranya tempoh pemutihan tamat, maka kita akan kemaskini semula perusahaan yang sebelum ini dikesan tidak mendaftar pekerja mereka melalui operasi berbeza pada April ini,” katanya.

Terdahulu, Redhuan menyasarkan 100 majikan baharu akan mendaftar bermula April ini selain hampir 10 majikan telah pun melaksanakan tanggungjawab hasil Ops Pemutihan ketika ini.