Badi kekalahan tak ganggu aksi Harimau Malaya bertemu Hong Kong

Mohd Farizal (kanan) ketika sidang media sebelum perlawanan menentang Hong Kong di Wisma FAM pada Selasa. -Foto Bernama
Mohd Farizal (kanan) ketika sidang media sebelum perlawanan menentang Hong Kong di Wisma FAM pada Selasa. -Foto Bernama
A
A
A

PENJAGA gawang Harimau Malaya, Farizal Marlias percaya kegagalan pasukan kebangsaan meraih sebarang kemenangan menentang Hong Kong dalam empat pertemuan sebelum ini langsung tidak akan mengganggu tumpuan skuad negara menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Pemain Johor Darul Ta’zim itu berkata, apa yang penting ketika ini adalah persediaan pasukan yang akan tampil berbeza dengan corak bola sepak moden sambil menekankan aspek penguasaan bola dan bermain secara pantas.

Malah Farizal yakin, sekiranya persediaan pasukan mantap menjelang aksi tersebut, kemarau kemenangan itu mampu dipadamkan di hadapan penyokong sendiri.

"Bagi saya aksi lepas biarkan berlalu, yang penting adalah situasi sekarang. Apa yang paling penting buat pasukan ketika ini adalah cara kita bermain.

"Jurulatih ada cakap, kita akan cuba melakukan identiti kita sendiri dengan mengawal permainan, tempo dan intensiti," katanya pada sidang akhbar sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada Selasa.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 10 Oktober 2017 ketika pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 di Hong Kong yang menyaksikan Malaysia tumbang 0-2.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod pertemuan sebanyak 25 kali sebelum ini, Harimau Malaya mempunyai rekod baik menentang skuad The Strength dengan melakarkan 10 kemenangan selain tewas lapan kali dan seri tujuh kali.

Dalam pada itu tambah Farizal, pemain perlu memanfaatkan peluang bermain di gelanggang keramat skuad kebangsaan untuk mencipta kemenangan sekali gus menghadiahkan kemenangan buat ‘ekor Harimau Malaya’.

"Perkara itu sangat penting dan sudah lama sebenarnya kita tak ada aksi antarabangsa. Jadi, ini adalah peluang untuk kita buktikan sesuatu buat penyokong yang sudah lama tidak menyaksikan aksi antarabangsa.

"Persiapan kita sangat baik dan kita perlu manfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. Malah komitmen pemain juga sangat baik dan momentum ini dapat diteruskan pada aksi sebenar nanti," ujarnya.