Mural 3D dengan penutup botol

Mohd Azizi merasmikan PJ Eco Mural
Mohd Azizi merasmikan PJ Eco Mural
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 20,160 penutup botol digunakan bagi penghasilan mural 3D berimej ikonik Petaling Jaya (PJ) iaitu pintu gerbang Kota Darul Ehsan, Menara Majlis Bandaraya PJ (MBPJ) dan Menara Celcom.

Mengambil masa selama tiga hari, projek PJ Eco Mural bertempat di Pusat PJ Eco Recycling Plaza itu dihasilkan oleh sukarelawan terdiri penduduk setempat dan diketuai Pensyarah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Mohd Fauzi Sedon.

Menurut Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, ia antara langkah meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan penggunaan semula sisa buangan dan kitar semula untuk dijadikan produk mural dan lukisan.

"Mural 3D disusun dan dicat dengan 64 tona warna menggunakan penutup botol yang dikutip dan dikumpulkan sejak dua bulan lalu melalui program pengasingan sampah dengan kerjasama syarikat KPT Sdn Bhd serta sumbangan kakitangan MBPJ sendiri.

"Ia dibuka kepada orang awam secara percuma untuk melihat lebih dekat seni yang dihasilkan dan berharap dapat diaplikasi dalam kehidupan seharian dengan pelbagai barangan kitar semula yang boleh dihasilkan," katanya.

Mural 3D yang dihasilkan menggunakan 20,160 penutup botol dan 64 tona warna.
Mural 3D yang dihasilkan menggunakan 20,160 penutup botol dan 64 tona warna.

Katanya, MBPJ sendiri menghasilkan projek menjual beg pelbagai guna yang dihasilkan menggunakan barang kitar semula daripada kain rentang dan bunting terpakai.

" MBPJ ada memasarkan produk itu di surat khabar untuk dijual beg kitar semula itu dengan harapan program kitar semula diperluaskan dan menjaga alam sekitar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, projek sama dengan empat mural telah dihasilkan di Majlis Perbandaran Seberang Perai tahun lepas, sebelum menjalinkan kerjasama dengan MBPJ yang berminat untuk menjalinkan kerjasama penghasilannya di PJ.

"Seramai 120 sukarelawan terdiri penduduk, duta PJ Bersih, NGO, pelajar sekolah serta kakitangan MBPJ membantu penghasilan mural ini yang gerak kerjanya dirangka kira-kira dua bulan lalu, sebelum kerja lapangan bermula Jumaat lalu.

"Idea penghasilan mural 3D diilhamkan dari kaedah bagaimana masyarakat dapat menyumbang kepada projek kitar semula selain meneruskan usaha kelestarian alam dengan pengurangan sisa buangan yang boleh diubah kepada hasil seni mengikut kreativiti masing-masing.

"Dijangka projek sama akan diteruskan di bandaraya Ipoh yang turut berminat untuk konsep sama namun tidak semestinya menggunakan botol, boleh digantikan dengan sisa buangan kitar semula lain," katanya.