Muslim Kemboja terhutang budi dengan rakyat Malaysia

Zamri (tengah) mendengar penjelasan Kamaruddin (kanan) mengenai keadaan komuniti Muslim di Kemboja.
A
A

IPOH - Penduduk muslim di Kemboja mengakui terhutang budi kepada rakyat Malaysia yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam di negara itu.

Perkara itu diluahkan sendiri Mufti Kemboja, Oukhna Sos Kamry atau Kamaruddin Yusof dalam pertemuan bersama Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dalam program Misi Peduli Ummah Kemboja anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Ipoh, kelmarin.

Zamri berkata, perkembangan Islam di Kemboja banyak bergantung kepada sumbangan luar khususnya dalam kalangan negara-negara Islam termasuk Malaysia.

"Berbeza dengan kerajaan Myanmar, kerajaan Kemboja tidak mengenakan sekatan untuk pengembangan Islam. Mufti Kemboja sangat terhutang budi kepada rakyat Msia kerana banyak menyumbang kepada perkembnngan Islam di Kemboja.

"Antara faktor yang menyebabkan kerajaan Kemboja agak mesra dengan komuniti muslim kerana kerajaan-kerajaan Islam dan masyarakat Islam banyak menyumbang kepada perkembangan Islam yang secara tidak langsung meringankan beban kerajaan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, antara faktor lain juga, komuniti Islam di Kemboja memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada, malah perkembangan terbaharu, kerajaan mereka bersetuju membiayai gaji guru-guru agama seramai 1,500 orang dengan kadar USD300 atau RM1,200 sebulan.

Sementara itu, Zamri mencadangkan agar kerajaan Malaysia membantu masyarakat Islam di Kemboja dalam soal pengurusan hal ehwal Islam.

Katanya, pengurusan hal ehwal Islam oleh komuniti itu dilihat agak lemah dan mereka perlu dibantu.

"Untuk jangka masa pendek, mereka boleh menghantar pelajar kemboja ke Malaysia bukan setakat belajar agama tetapi belajar pengurusan hal ehwal Islam," katanya.

Mengenai Misi Peduli Ummah Kemboja, beliau berkata, program tersebut bermula pada 26 sehingga 30 Mac melibatkan seramai 15 peserta.