Program SPBT KAFA beri manfaat kepada 33,818 murid

Simbolik penyerahan kepada wakil ibu bapa dan murid disempurnakan Idris (belakang tengah) dan Mohd Ajib (belakang tujuh dari kiri) pada Selasa.
Simbolik penyerahan kepada wakil ibu bapa dan murid disempurnakan Idris (belakang tengah) dan Mohd Ajib (belakang tujuh dari kiri) pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bakal memberikan manfaat kepada 33,818 orang murid KAFA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kenyataan memaklumkan, pengagihannya diberikan tanpa mengambil kira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak dengan keutamaan kepada anak-anak asnaf dan golongan B40.

Menurut Jawi, keseluruhan nilai bantuan berkenaan yang berjumlah RM1.8 juta itu diberikan kepada murid terbabit melalui peruntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Ia bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, mengurangkan dan mengatasi masalah keciciran pembelajaran agama serta meningkatkan keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam kalangan murid KAFA.

"Fasa pertama skim bantuan selesai dilaksanakan pada Mac lalu melibatkan edaran 46,550 naskhah buku teks kepada 12,221 murid Tahun Satu dan Tahun Dua merangkumi tujuh subjek KAFA iaitu Adab, Akidah, Bahasa Arab, Ibadah, Jawi dan Khat, Sirah dan Tilawah al-Quran dengan keseluruhan kos bernilai RM 691,005," kata kenyataan itu pada Selasa.

Simbolik penyerahan kepada wakil ibu bapa dan murid disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bersama Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail di Masjid Az Zubair Ibnul Awwam, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Jawi berkata, pihaknya melaksanakan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan pendidikan Islam dan pengajian al-Quran serta fardu ain kepada masyarakat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan melalui lima buah Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ), 71 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) dan 130 KAFA.

Tambahnya, Wilayah Persekutuan antara negeri yang mempelopori program SPBT KAFA meliputi semua golongan penerima.