Pemadam tolak tanam ketum, ganja

Mohd Suhaimi (empat, kanan belakang) bersama Pengerusi Biro Wanita dan Pembangunan Keluarga Pemadam Kebangsaan, Datuk Jamelah Abu Bakar (tiga kanan belakang0 serta perwakilan Pemadam Selangor.
Mohd Suhaimi (empat, kanan belakang) bersama Pengerusi Biro Wanita dan Pembangunan Keluarga Pemadam Kebangsaan, Datuk Jamelah Abu Bakar (tiga kanan belakang0 serta perwakilan Pemadam Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) sebulat suara menolak cadangan ketum dan ganja dijadikan tanaman komersial.

Timbalan Yang Dipertua Kebangsaannya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, penekanan hendaklah diberikan kepada kajian mendalam berkaitan keputusan yang akan dibawa ke Parlimen berhubung kedudukan penanaman tersebut.

“Kesepakatan ini diperoleh hasil Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan Ke-43, yang berakhir hari ini.

“Dan kami semua perwakilan serta pemerhati yang hadir bertegas menolak cadangan penanaman itu kerana kesan dan akibat akan menjadi lebih menakutkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ada alternatif tumbuhan lain boleh digunakan selain ketum dan ganja bagi membantu dalam perubatan.

“Kita tidak tolak kajian yang ketum dan ganja ini, abstraknya boleh dijadikan ubat, boleh bantu untuk penyakit seperti parkinson dan kanser, tetapi ada juga tumbuhan lain boleh memberi manfaat sama seperti yang ada pada ketum dan ganja.

“Kenapa tidak dipilih alternatif tersebut, kenapa pilih ketum dan ganja ini,” katanya.

Selain itu, pihaknya mengakui pemilihan penanaman ketum dan ganja ini jika diluluskan memerlukan kos pengawasan yang tinggi bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Soal pengawasan perlu dilakukan betul-betul bagi mengelak penyalahgunaan kuasa di mana akhirnya anak-anak yang akan menjadi mangsa.

“Mungkin tanaman ini dipilih kerana ada permintaan tinggi dari luar menyebabkan harganya mahal ketika ini. Namun ia bukanlah jaminan kerana lihat sahaja kelapa sawit, negara luar boleh mengubah fikiran mereka menyebabkan Malaysia mengalami kerugian,” katanya.

Pada perkembangan sama, Mohd Suhaimi berkata, hasil perhimpunan itu juga, semua perwakilan dan pemerhati bersetuju agar kerajaan bertindak tegas dalam menangani isu dadah.

“Kami meminta supaya tumpuan diberikan kepada program untuk anak-anak muda khususnya pelajar-pelajar peringkat rendah dan tinggi.

“Misalnya sejak tahun lalu, sebanyak 20 Kelab Mahasiswa Pemadam telah ditubuhkan dan bergerak menjalankan aktiviti mereka.

“Dan untuk tahun ini, kami mahu ia diperluaskan lagi ke institusi pengajian tinggi yang lain agar kesedaran mengenai dadah ini didedahkan kepada semua peringkat masyarakat,” katanya.