Majlis Bandaraya Kuantan terima anugerah antarabangsa

Hamdan (kiri) hadir menerima anugerah Green Apple Environment Award For Beautiful Buildings - Gold 2022’ anjuran The Green Organisation dalam satu majlis di London, pada Isnin. - Foto FB Majlis Bandaraya Kuantan.
Hamdan (kiri) hadir menerima anugerah Green Apple Environment Award For Beautiful Buildings - Gold 2022’ anjuran The Green Organisation dalam satu majlis di London, pada Isnin. - Foto FB Majlis Bandaraya Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menerima anugerah antarabangsa ‘Green Apple Environment Award For Beautiful Buildings - Gold 2022’ anjuran The Green Organisation.

Anugerah yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap pengasas Plan-IT ECO, Phil Williams itu diterima Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dalam satu majlis di London, pada Isnin.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pengiktirafan itu diberi atas usaha MBK dalam mewujudkan dan memulihara bangunan lama yang menyumbang kepada pertumbuhan semula aktiviti komersial perniagaan di sekitar Kuantan dan sumbangan usaha tersebut kepada kelestarian alam sekitar

Menurutnya, daripada 36 projek yang disenarai pendek dari beberapa negara seperti England, Ireland Utara, Poland, Scotland, Wales dan Qatar, projek Kuantan Art Street yang dilaksanakan dengan kos pembangunan dibiayai MBK telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas.

"Menerusi projek ini MBK dipelawa untuk menjadi Green World Ambassador dan layak untuk menyertai Green World Award di Chile pada tahun hadapan.

"Anugerah berprestij ini sangat signifikan khususnya membantu memasarkan Kuantan ke luar negara dan negeri Pahang umumnya ke persada antarabangsa," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Norkamawati berkata, pengiktirafan tersebut amat bermakna sebagai pemangkin dalam usaha melestarikan alam sekitar bandar raya itu pada masa akan datang.

"Ia selaras dengan usaha dan penekanan tindakan kelestarian yang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya.