PM Kanada cadang beku pemilikan senjata api

RUU dicadangkan Trudeau bagaimanapun masih perlu mendapat kelulusan Parlimen Kanada. - Foto AFP
RUU dicadangkan Trudeau bagaimanapun masih perlu mendapat kelulusan Parlimen Kanada. - Foto AFP
A
A
A

OTTAWA - Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Isnin mengumumkan cadangan pembekuan terhadap pemilikan senjata api di negara itu sekali gus akan melarang pengimportan dan jualannya secara efektif sebagai respons terhadap insiden serangan tembakan di sebuah sekolah di Amerika Syarikat (AS), pada minggu lalu.

Rang undang-undang (RUU) itu bagaimanapun masih perlu mendapat kelulusan Parlimen yang menyaksikan parti pemerintah, Parti Liberal hanya memegang kerusi minoriti.

"Kami memperkenalkan RUU tersebut untuk melaksanakan larangan terhadap sebarang urus niaga senjata api di negara itu. Dalam erti kata lain, kami mahu mengehadkan pasaran senjata api," katanya.

Trudeau turut merujuk kepada kejadian serangan tembakan ganas yang meragut 23 nyawa di Nova Scotia pada April 2020 apabila pemerintah memutuskan untuk mengharamkan 1,500 jenis senjata api gaya serangan atau gred tentera.

Menurutnya, keganasan senjata api terus meningkat walaupun laporan statistik menunjukkan ia menyumbang kurang tiga peratus daripada kesemua jenis jenayah ganas di Ottawa.

Difahamkan, data tersebut juga menunjukkan kadar per kapita senjata api yang diacukan pada seseorang telah meningkat hampir tiga kali ganda sejak 2009 manakala kadar tembakan dilepaskan untuk niat membunuh atau mencederakan melonjak lima kali ganda.

Selain itu, hampir dua pertiga jenayah di kawasan bandar melibatkan penggunaan senjata api.

"Orang ramai sepatutnya berasa selamat dan bebas bergerak ke mana sahaja tanpa rasa takut. Keganasan senjata api adalah masalah yang kompleks. Tetapi, apa yang pasti orang ramai akan berasa lebih selamat apabila senjata api semakin berkurangan dalam komuniti," katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Awam, Marco Mendicino menganggarkan terdapat kira-kira sejuta senjata api di negara itu yang didakwa meningkat dengan ketara berbanding sedekad yang lalu.

Pihak berkuasa menuding jari menyalahkan peningkatan tersebut disebabkan oleh sindiket penyeludupan senjata api dari AS yang menjadi pasaran terbesar senjata api.

Di bawah RUU itu, ia juga melarang senjata api yang boleh diisi dengan lebih lima butir peluru dan melucutkan hak individu yang dianggap berisiko serta terlibat kegasanan domestik dan mengukuhkan kawalan keselamatan sempadan serta hukuman tegas ke atas mereka yang terbabit kegiatan penyeludupan. - AFP