340 khatam al-Quran serentak

Peserta yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana.
A
A

KLUANG - Seramai 340 peserta menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Daerah Kluang sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Masjid Jamek Bandar Kluang, semalam.

Majlis anjuran bersama Pejabat Daerah Kluang dengan kerjasama Pejabat Kadi Daerah Kluang ini adalah sebagai meraikan pelajar yang berjaya khatam al-Quran di Pusat Pengajian Al-Quran Daerah Kluang.

Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu berkata, objektif utama majlis ini mendedahkan kepentingan mempelajari serta mendalami ilmu al-Quran selain mencari keberkatan untuk disedekahkan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor.

Katanya, ia juga selaras untuk memberikan motivasi kepada guru dan peserta untuk mendalami dan meningkatkan kemahiran dalam pembacaan al-Quran.

"Selain itu, majlis julung kali diadakan juga bertujuan melahirkan serta memperkukuhkan bakat sebagai qari dan qariah yang boleh menjadi pelapis bagi daerah ini ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

"Program dirancang dan disusun rapi ini bertujuan menyahut seruan Rasulullah SAW mengenai keutamaan dan kelebihan membaca kitab suci al-Quran ini," katanya ketika merasmikan majlis, semalam.

Turut hadir, Kadi Daerah Kluang, Mohd Fauzi Bachok, Penghulu Kanan Daerah Kluang, Rosli Ithnin dan Penyelia Al-Quran Daerah Kluang, Aziz Mustakim.

Menurutnya, Pusat Pengajian Al-Quran yang mula diwujudkan pada 2011 sehingga kini berjaya melahirkan lebih 2,000 pelajar di bawah pengendalian 220 guru al-Quran.

"Diharapkan dengan kejayaan majlis ini akan memberikan keinginan lebih ramai lagi peserta untuk mengikuti kelas pengajian di pusat ini pada masa akan datang serta menjadikannya sebagai pedoman untuk pegangan hidup seharian," katanya.