Skuad Harimau Malaya tidak mahu buat kesilapan sama berdepan Hong Kong

Skuad Harimau Malaya. - Foto FAM
Skuad Harimau Malaya. - Foto FAM
A
A
A

MENJELANG aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Rabu ini, barisan pemain skuad Harimau Malaya sedang berusaha keras untuk memperbaiki segala kesilapan dan kelemahan yang ada.

Tonggak pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee, 29, berkata, ia penting bagi mengelak kesilapan dilakukan ketika menentang Brunei pada Jumaat lepas, berulang pada aksi seterusnya dan semasa kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual bermula dari 8 hingga 14 Jun ini.

"Setiap kesilapan dilakukan ketika aksi pertama menentang Brunei sebelum ini perlu diperbaiki. Pertama sekali, kami cuba untuk dapatkan kesefahaman untuk kombinasi (pemain) yang jurulatih Kim Pan Gon terapkan, insya-Allah kita akan bagi yang terbaik.

Masa pun tak banyak untuk Kelayakan Piala Asia, jadi apa yang jurulatih terapkan, kami akan cuba sampaikan dan berusaha supaya semua peminat tahu kami tidak sambil lewa hadapi kelayakan itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, Pan Gon menyatakan prestasi anak buahnya, yang berada di ranking ke-154 dunia, sepatutnya lebih baik ketika menentang Brunei (191) di Stadium Nasional Bukit Jalil, walaupun berjaya mencatatkan kemenangan 4-0.

Ahmad Khuzaimi mengakui sukar bagi pemain untuk memastikan tiada langsung kesilapan dilakukan sepanjang 90 minit perlawanan, namun berkata kesilapan itu perlu menjadi pengajaran untuk mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan-perlawanan seterusnya.

Pemain Negeri Sembilan FC itu, berkata beliau juga tidak mempunyai masalah untuk beraksi dalam formasi berbeza sama ada menggunakan tiga atau empat pertahanan kerana mempunyai pengalaman beraksi dalam kedua-dua keadaan mengikut strategi jurulatih.

Sementara itu, Ahmad Khuzaimi turut mengakui setiap pemain perlu bersedia untuk diturunkan pada hari perlawanan tanpa mengira sama ada pemain pilihan atau baharu kerana barisan kesebelasan utama hanya diumumkan oleh Pan Gon ketika mereka berada di bilik persalinan.

"Jadi kami semua perlu bersedia sebab jurulatih percaya kepada semua pemain sedia ada. Sesiapa yang bermain, kami semua akan bagi yang terbaik, tak kira kesebelsan pertama atau pemain gantian,” katanya.

Selepas aksi menentang Hong Kong, skuad Harimau Malaya akan memulakan aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun). - Bernama