‘KKM terus bawa suara Malaysia ke pentas dunia’ - KJ

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pemilihannya sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mewakili Rantau Pasifik Barat untuk tahun 2022-2023 merupakan satu penghormatan kepada negara lebih-lebih lagi selepas dilantik sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-57 pada 23 Mei lalu.

Menurutnya, selepas Malaysia diberi penghormatan sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia, hari ini Malaysia dipilih sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO.

“Alhamdulillah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus membawa suara Malaysia ke pentas kesihatan dunia,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Isnin.

Pada Isnin, Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-151 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif bagi mewakili Rantau Pasifik Barat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Pada 23 Mei lalu, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai seorang daripada lima naib presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75 yang sedang berlangsung di Geneva, Switzerland.

Beliau dilantik bersama-sama calon yang mewakili empat negara lain iaitu Bulgaria, Indonesia, Togo dan Amerika Syarikat.