Pil minda: Karut atau realiti?

A
A
A

DI ALAM kehidupan ini, untuk berjaya kita harus berusaha untuk mencapainya.

Tiada titian yang mudah. Kejayaan juga memang tidak akan datang bergolek.

Pun demikian, kebanjiran pil yang kononnya boleh membantu manusia khususnya kanak-kanak menjadi pintar dan genius dalam pembelajaran semakin berlambak.

Bukan sahaja di Malaysia, malah fenomena sama telah melanda beberapa negara luar.

Untuk mendapatkannya, ia boleh dipesan secara online sahaja.

Ada yang meletakkan harga pada paras melampau dan ada juga yang murah.

Sejauhmana keberkesanan pil ini? Adakah memang benar boleh melahirkan kanak-kanak atau pelajar yang bijaksana dan hebat?

Menjawab isu ini, Sihat:Aktif menemubual beberapa pakar bagi mendapatkan pencerahan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, kami turut mendapatkan penjelasan dari perspektif agama. Ikuti kupasan seterusnya.

IBARAT spora berkembang biak melata. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan senario lambakan variasi produk yang didakwa berupaya menyuntik kecerdikan dalam kalangan pengguna di Malaysia mahupun di beberapa negara luar.

Bagi menarik perhatian ramai, 'makanan otak' ini telah dilabelkan dengan pelbagai jenis nama penuh komersial.

Ada yang memberi jolokan sebagai pil minda, pil genius, pil pintar dan pelbagai lagi nama unik.

Walaupun nampak seperti tidak masuk akal dengan kenyataan yang dicanangkan pengiklan bahawa pil itu mampu membuatkan golongan sasaran terutama kanak-kanak menjadi pintar, ironinya, ramai ibu bapa teruja.

Apa yang penulis katakan bukan sandiwara. Buktinya, lihat sahaja penangan seorang blogger, model dan pelakon (mempunyai lebih 4 juta pengikut).

Beliau memuat naik pil genius di samping anaknya. Status itu mendapat puluhan ribu like.

Beratus-ratus lontaran pertanyaan memenuhi ruangan komennya. Soalan yang popular: "Di mana saya boleh beli produk ini?"

Persoalannya, memang betul-betul menjadi geniuskah? Inikah jalan singkat menjadi pandai?

Sihat:Aktif mewawancara seorang ibu, Mazuin Ishak, 39, yang mengakui terdapat perubahan besar kepada anaknya selepas diberi sejenis produk minda.

MAZUIN bersama salah seorang anaknya yang memanfaatkan produk makanan minda.
MAZUIN bersama salah seorang anaknya yang memanfaatkan produk makanan minda.

Kata bekas jururawat ini, jika sebelum ini, anak-anaknya yang berusia 10, 8 dan 6 tahun tidak cergas, namun, selepas seminggu memberikan produk berkenaan, sudah nampak perubahan.

"Sebelum ini, mereka selalu letih dan lesu apabila pergi atau pulang dari sekolah tapi selepas makan pil ini, mereka nampak bertenaga.

"Hendak kejutkan mereka waktu pagi lebih mudah. Bila balik dari sekolah, tiada masalah untuk mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah, bantu kerja rumah dan sebagainya," kongsi ibu kepada lima cahaya mata yang berasal dari Ipoh, Perak ini.

Mazuin menegaskan, beliau percaya produk dimakan anaknya itu mampu membantu membekalkan tenaga.

Katanya lagi, dengan tenaga itulah otak berfungsi dengan baik.

"Produk minda berbentuk serbuk ini bukanlah ubat tetapi makanan tambahan. Jika letih, bagaimana otak kita hendak bekerja dengan baik.

"Apabila ada tenaga, boleh belajar dengan baik, tentulah mampu jadi pandai. Bagi saya ia membantu kedua-duanya, beri tenaga dan jadi bijak. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan anak saya yang lalu juga baik," katanya.

Sekilas bicara, nampaknya apa diperkatakan wanita bukan omong kosong. Namun apa pula kata pakar perubatan?

Makanan tambahan

Sihat:Aktif mendapatkan pandangan doktor perubatan dari Klinik Dr Jamnul Azhar, Dr Jamnul Azhar Mulkan.

DR JAMNUL
DR JAMNUL

Dr Jamnul menjelaskan, secara saintifiknya, makanan minda tidak memberi maksud secara langsung boleh mencerdaskan tetapi lebih kepada memperbetulkan fungsi badan.

Ujar beliau, kelazimannya, pil-pil minda mengandungi bahan-bahan yang mengaktifkan beberapa neurotransmitter di dalam otak manusia.

"Penggunaan pil secara moden ini lebih kepada makanan tambahan. Kita perlu faham sifat atau tabiat vitamin. Vitamin ini adalah 'benda' yang tidak sintesis, tak boleh dibina dan diwujudkan dalam badan.

"Kalau kita ambil pun, ia tak kekal dalam badan. Itu perlunya vitamin ini.

"Amalan mengambil pil vitamin ini dapat mengekalkan komposisi kandungan-kandungan berkhasiat yang diperlukan oleh otak. Contohnya, buah-buahan sitrus mengandungi vitamin C baik untuk peredaran oksigen ke otak. Secara tidak langsung oksigen ini tersebar begitu banyak terutama ke otak, di mana ia amat diperlukan untuk berfungsi," katanya.

Fungsi vitamin

Menyambung hujahnya, pakar ini menerangkan, pelbagai vitamin dengan fungsinya tersendiri perlu untuk menangani penyakit-penyakit tertentu.

Namun, apabila ia tiada dalam badan, di sinilah vitamin mengambil peranan.

Pun demikian, beliau berkata, apa-apa pun, anak-anak masih memerlukan pemakanan seimbang seperti cukup karbohidrat, protein, buah dan sayur.

"Tapi kalau kata makan pil minda jadi cerdik, sebenarnya tak macam tu, ia hanya membantu ke arah kecerdikan itu. Ada yang kata makan pil minda ini lebih baik, ya saya setuju.

"Ia lebih kepada bantu aliran darah dan oksigen terutamanya ke otak dan organ-organ penting yang menyebabkan organ ini berfungsi lebih baik dan hasilkan prestasi lebih tinggi pada anak-anak kita," katanya.

Ditanya kaedah dalam memastikan kesahihan fungsi pil tersebut, Dr Jamnul berkata, seseorang boleh mencuba satu atau dua butir pil terlebih dahulu untuk merasai kesannya dan perlu preskripsi yang ditentukan.

Tanpa berselindung, beliau sendiri ada memakan beberapa produk berkaitan dan merasakan perubahan terhadap daya ingatan yang menjadi lebih baik.

Perlu kelulusan?

Adakah produk didakwa pil minda dan sebagainya ini seharusnya berada dalam kumpulan 'makanan' atau 'makanan tambahan/suplemen' yang mesti berdaftar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah kategori ubat?

Menjawab persoalan itu, Pegawai Perubatan Kanan Pusat Latihan Rekrut Tentera Laut Diraja Malaysia, Leftenan Kolonel Dr Rusyainie Ramli berkata, sekiranya produk minda ini adalah hanya sejenis makanan, bermakna ia tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

DR RUSYAINIE
DR RUSYAINIE

"Produk yang di bawah kategori 'makanan', tak perlukan kelulusan KKM kerana ia bukan di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Pada masa sama (ia bermakna) kerana ia adalah sejenis makanan, pengeluar tak boleh membuat sebarang tuntutan perubatan apa-apa termasuklah mengatakan anak boleh jadi pandai dengan mengambilnya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Medical Mythbusters Malaysia memberitahu, pada masa ini, terdapat banyak produk mendakwa di bawah kategori 'makanan', maka terlepas daripada penguatkuasaan cawangan farmasi.

Berdasarkan rekod, produk makanan yang membuat tuntutan perubatan berada di bawah bidang kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

Selain menjawab persoalan itu, Dr Rusyainie turut menjawab pertanyaan mengenai pil-pil genius yang selalunya mempunyai rasa yang sangat manis.

Beliau sama sekali tidak menolak bahawa pil ini mempunyai kandungan gula yang tinggi.

"Ia hanya gula ringkas, bila bagi anak makan, apa yang ibu bapa lakukan hanya menambah gula dalam diet seharian mereka.

"Tiada cara untuk pandai dan bijak dengan itu (makan pil). Sebab kita boleh dapat sumber karbohidrat (yang akhirnya gula) daripada makanan seperti nasi, roti, kentang. "Kenapa mesti mengambil gula tambahan sedangkan kita tahu satu dalam tiga kanak-kanak di Malaysia ada lebihan berat badan dan obes?," soalnya.

Impak jangka panjangKepada Sihat:Aktif juga, Dr Rusyainie meluahkan kekecewaan dengan tindakan sesetengah pihak yang memanipulasikan perkataan 'pil genius', 'pil minda', 'ubat cerdik' dan sebagainya untuk melariskan jualan.

Jelas beliau, itu juga antara sebab pil berkenaan laku keras.

"Saya lihat, ramai ibu bapa cari jalan mudah mahu anak pandai, soleh tetapi enggan berusaha didik, asuh dan ajar anak sendiri, sebaliknya hanya harapkan pil untuk selesaikan masalah tingkah laku anak mereka yang tidak disenangi.

"Produk begini juga dijual tanpa kawalan di dalam sekolah-sekolah. Ada pihak tertentu dalam pentadbiran sekolah yang ambil keuntungan dan kesempatan tanpa pengetahuan banyak pihak," luahnya dengan nada dukacita.

Ditanya kesan jangka panjang pengambilan produk ini, Dr Rusyainie berkata, ia tidak diketahui kerana sukar dijangka.

Tegasnya, produk sebegini tidak menulis secara jelas kandungannya pada pek atau botol. Mungkin, lebih teruk, ada sahaja pihak yang menangguk di air keruh dengan mencampur adukkan bahan terlarang.

"Nasihat saya, kita tak perlukan pun pil itu. Apa diperlukan makanan seimbang, segar dan penuh nutrisi dengan sukatan yang betul dan sesuai untuk anak kita," katanya.

Beliau turut ralat melihat variasi gimik iklan mengaitkan pil sedemikian dengan makanan sunnah yang didakwa mampu menjadikan anak seorang Muslim yang baik.

Menurutnya, kadangkala produk tersebut dijual lebih mahal, sedangkan dengan jumlah wang sama ia boleh diganti dengan makanan sebenar yang lebih berkhasiat.

Faktor cerdik

Turut menzahirkan pandangan tentang isu pil genius ini ialah Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia, Ansarul Haq Tahrir Adli.

ANSARUL
ANSARUL

Menurutnya, kebenaran pil genius dapat membuat seseorang itu cerdik masih menjadi tanda tanya lantaran belum ada kajian menyeluruh yang dilakukan.

"Walaupun ada kajian kebaikan intipati kandungan pil ini yang dilihat mempunyai abstrak makanan dan bernutrisi tinggi tetapi sejauh mana ia selamat digunakan belum dapat dibuktikan.

"Barangkali akan datang terdapat kajian membuktikan pil ini sah dan selamat. Tetapi lumrahnya, kanak-kanak boleh genius atau cerdik bukan terletak pada satu pendekatan, ia meliputi pelbagai aspek," katanya.

Menurutnya, mengikut kajian ahli psikologi, pada asasnya terdapat dua faktor utama dalam perkembangan manusia iaitu faktor genetik atau baka dan faktor persekitaran.

Terang Ansarul, dalam kajian-kajian terdahulu berkaitan faktor genetik mengatakan, sekiranya ibu bapa seseorang itu cerdik, keberangkalian anaknya itu juga akan mewarisinya.

"Tapi pada dasarnya, perkara paling kuat dapat pengaruhi seseorang itu adalah disebabkan persekitaran, faktor asuhan keluarga. Ini (faktor) paling awal mempengaruhi perkembangan anak-anak. Bagaimana mereka diasuh atau dilayan akan bentuk personaliti, kognitif dan kreativiti kanak-kanak itu nanti," jelasnya.

Menurutnya faktor kedua mempengaruhi perkembangan anak adalah rakan sebaya selain guru dan persekitaran sekolah.

Pemakanan juga menurut Ansarul sangat signifikan kerana khasiat sesuatu pil tidak menyamai zat asal makanan.

Apa kata mereka?

"Saya tak tahu pula ada pil minda ini dan tak percaya ia boleh buat kita jadi pandai. Pada saya kalau nak pandai, perlu belajar, buat nota, solat hajat. Penting juga minta restu ibu bapa." - Pelajar, Muhammad Fikrie Ikram Mohd Nordin, 19

"DAHULU, saya biasa ambil pil ini semasa mahu ambil peperiksaan. Bagus untuk fokus dan tenaga untuk belajar. Saya tahu ambil pil ini bukan untuk pandai tapi lebih pada tenaga untuk kita tumpu pada pelajaran." - Lepasan sekolah, Nur Hafizeen Idris, 18

"Bagi saya, pil minda ini hanya vitamin. Jangan bergantung kepadanya. Tiga anak saya berusia 15, 11 dan 6 tahun pun pernah saya beri pil ini tapi tak ada perubahan (jadi pandai)." - Guru, Jamilah Ani, 46