RCI perlu telus terhadap laporan Wang Kelian: Suhakam, NGO

Pelancaran Laporan Penyiasatan mengenai Insiden Wang Kelian oleh Suhakam dan Fortify Rights di sini, hari ini. -Foto Bernama
Pelancaran Laporan Penyiasatan mengenai Insiden Wang Kelian oleh Suhakam dan Fortify Rights di sini, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan pertubuhan hak asasi manusia, Fortify Rights, berharap kerja-kerja yang dijalankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung insiden Wang Kelian, Perlis, dibuat dengan telus, mudah diakses dan terbuka kepada orang awam.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata mereka mencadangkan agar RCI mengenal pasti mereka yang dipercayai bertanggungjawab terhadap jenayah itu dan dikenakan pendakwaan jenayah di Malaysia serta tindakan terhadap individu bertanggungjawab yang melampaui pendakwaan jenayah.

Beliau berkata suruhanjaya perlu mempertimbangkan pembaharuan institusi dan/atau undang-undang yang diperlukan untuk menangani kekurangan yang mungkin menyumbang kepada insiden Wang Kelian itu.

"Laporan itu menggalakkan RCI membuktikan fakta dan keadaan berlakunya pemerdagangan manusia, kematian, kubur besar dan penguatkuasaan undang-undang yang bertanggungjawab terhadap kubur besar di Wang Kelian serta pemerdagangan orang Islam Rohingya ke Malaysia dari 2012 hingga 2015," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran Laporan Penyiasatan mengenai Insiden Wang Kelian oleh Suhakam dan Fortify Rights di sini, hari ini.

Laporan itu mencadangkan mereka yang terselamat daripada serangan di negara ini layak mendapat perlindungan di bawah undang-undang Malaysia sebagai orang terselamat daripada penyeludupan manusia, dan dalam hal Rohingya, perlindungan sebagai pelarian.

Berdasarkan penemuan itu, ia menyarankan agar tindakan diambil terhadap individu dari agensi penguatkuasaan sekiranya terbukti terdapat kelewatan dalam penyiasatan terhadap insiden Wang Kelian dengan sengaja dan berhasrat memusnahkan bukti.

Pada 5 Mac, Bernama melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri mengumumkan tujuh anggota RCI yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, untuk melihat kepada penemuan kem-kem sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai adalah timbalan pengerusi RCI manakala lima anggota lain ialah bekas Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail; bekas Ketua Penyelidikan di Jabatan Peguam Negara Datuk Junaidah Abdul Rahman; bekas Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Dr Tan Seng Giaw.

RCI dijangka mengambil masa enam bulan untuk menyelesaikannya dan laporan mengenai penemuannya akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 2015, negara dan dunia dikejutkan tentang penemuan kubur besar dan beberapa kem transit di Wang Kelian yang dikaitkan dengan aktiviti pemerdagangan manusia, di mana sejumlah 147 kubur dengan 130 rangka manusia telah dijumpai, yang kemudiannya membawa kepada penangkapan 44 warga asing.

Tragedi yang melibatkan mangsa dari masyarakat etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh juga menarik perhatian masyarakat antarabangsa. -Bernama