PGA rampas 541 ekor burung murai batu seludup
TUMPAT - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas 541 ekor burung murai batu yang diseludup masuk secara haram ke negara ini dari Thailand selepas menahan seorang lelaki di Kampung Jubakar, di sini pada Ahad.
Penahanan lelaki itu dilakukan pada jam 4 petang selepas anggota Batalion 8 PGA yang membuat rondaan menerusi Op Wawasan Kelantan telah mengesan sebuah kereta jenis pelbagai guna (MPV) yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Deputi Superintendan Ramesh Krishnan berkata, sejurus menahan MPV itu, pihaknya terus membuat pemeriksaan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas MPV itu telah menjumpai 32 bakul mengandungi murai batu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM571,500.
Beliau berkata, rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Ramesh berkata, kes disiasat bawah Seksyen 60 (1) (A) Akta Perhilitan 1972.