Lokman Adam, tiga individu dijangka dituduh di mahkamah esok

Lokman Noor Adam
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dijangka didakwa di mahkamah esok berkaitan insiden yang berlaku di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Pantai Dalam di Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.

Pendakwaan terhadap Lokman akan dilakukan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 9 pagi.

Selain beliau, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Mutalif Abdul Rahim bersama dua individu lain juga akan didakwa di mahkamah sama.

Terdahulu, pada 22 Mac lalu Program Najib yang pada mulanya berlangsung secara santai di hadapan Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur bertukar kecoh.

ARTIKEL BERKAITAN: Program santai Najib kecoh, pelajar dicekik dari belakang

Ini disebabkan, beberapa penuntut universiti berkenaan bertindak memegang plakad sambil menjerit “penipu” dan “mana RM2.6 bilion” ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap.

Pada masa sama, kumpulan pelajar itu turut mengangkat plakad mempamerkan gambar badut yang dikatakan menyerupai Najib.

Akibatnya, tindakan tersebut beberapa penyokong Najib berang sehingga berlakunya pergelutan.