Wujudkan persatuan wartawan, benteng kawal berita palsu

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad turut menyarankan penubuhan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia, bagi mendukung standard dan menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad turut menyarankan penubuhan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia, bagi mendukung standard dan menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan dalam negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Peranan wartawan dalam melaporkan berita terkini kepada rakyat mendapat pengiktirafan negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 kepada Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) pada Ahad.

Anugerah julung kali diberikan kepada organisasi media yang telah beroperasi lebih daripada 40 tahun itu semestinya memberi impak positif kepada masyarakat.

Sudah sampai masa rakyat buka mata dan melihat bahawa tugas dan tangunggjawab wartawan dalam industri media itu sendiri amat penting kepada hala tuju negara sama ada dari aspek politik, ekonomi mahupun sosial.

Pada Ahad, Ismail Sabri mencadangkan penubuhan sebuah persatuan iaitu Persatuan Wartawan Malaysia bagi mewakili media cetak, media elektronik dan media internet di negara ini.

Ujar beliau, bidang kewartawanan sering berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi semasa apabila ledakan teknologi digital turut melahirkan ramai 'wartawan segera'.

Justeru, beliau berkata, penubuhan persatuan itu bertujuan bagi memastikan etika kewartawan dipelihara, profession kewartawanan diperkasa dan kebajikan wartawan terjamin.

Tambahan pula, dengan adanya platform media sosial, berita-berita palsu atau tidak benar semakin berleluasa sehingga ia menggugat keamanan dan proses pembangunan negara.

Oleh sebab itu, pentingnya wujud pertubuhan wartawan agar ia boleh menjadi 'benteng' dalam mengawal serta menghalang penyebaran berita serta informasi palsu di negara ini.

Dalam pada itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar mengesyorkan betapa pentingnya pembentukan persatuan tersebut yang menjadi suara kepada wartawan kebangsaan.

Menurutnya, contoh paling jelas ialah ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun dan pihak wartawan berhadapan dengan kesukaran untuk diiktiraf sebagai kumpulan 'frontliners' (petugas barisan hadapan).

Situasi tersebut sesuai menggambarkan keadaan wartawan yang sentiasa bersusah-payah dan gigih berusaha berada di lapangan untuk menjalankan tugas serta membuat laporan.

Maka, kerajaan dan pihak berkepentingan perlu melihat dengan lebih teliti terhadap usaha dalam memperkasakan peranan wartawan supaya kumpulan ini bukan sahaja diiktiraf melalui nama semata-mata, tetapi dijamin dari segi kebajikan itu sendiri.