X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Hawana perlu dijadikan agenda nasional: Annuar

Annuar berucap ketika hadir pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang berlangsung di Hotel Hatten hari ini. -Foto Bernama
A
A

MELAKA - Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) perlu dijadikan agenda nasional sebagai mengiktiraf peranan profesion wartawan dan pengamal media di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata beliau secara peribadi memberi jaminan akan memberi keutamaan tinggi terhadap sambutan Hawana selagi berkhidmat dalam kerajaan.

"Kerajaan dan kementerian mesti beri pengiktirafan kepada status sambutan Hawana.

"Ini bermakna negara mesti beri pengiktirafan dan sekarang Kabinet bersetuju untuk sahkan Hawana dan kita berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pengiktirafan ini,” katanya pada majlis penutup Forum Media Nasional, sempena sambutan Hawana 2022 di sini hari ini.

Hawana 2022 bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ disambut hari ini dengan majlis kemuncak dirasmikan oleh perdana menteri.

Selain itu, Annuar mahu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengambil berat dan memberi maklum balas kepada segala perkara yang dirumuskan serta dibincangkan dalam forum yang dianjurkan pada Hawana 2022 dan akan datang.

Katanya hasil perbicangan itu penting dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah termasuk keluh kesah wartawan dan pengamal media yang tidak diketahui umum.

Annuar juga mahu K-KOMM membantu persatuan wartawan di negara supaya dapat dikoordinasi sebaiknya bagi mewujudkan satu badan khusus untuk menaung dan menjadi suara kepada pengamal media.

"Saya difahamkan kita banyak persatuan wartawan namun ada yang aktif, ada yang tidak aktif, jadi kita nak supaya ada badan yang memayungi agar perwakilan kewartawanan itu lebih teguh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu bandar-bandar utama di seluruh negara merebut peluang untuk membida menjadi tuan rumah sambutan Hawana akan datang memandangkan ia bakal menjadi acara tahunan berprestij.

Sementara itu berucap pada majlis kemuncak sambutan Hawana 2022, Annuar berkata sambutan itu merupakan manifestasi pengiktirafan kepada institusi kewartawanan tanah air, sesuai dengan sejarah panjang peranan wartawan.

Ia juga sebagai penghargaan kepada para wartawan yang juga melalui penceritaan dan pemberitaan mereka dalam menyampaikan maklumat serta mendidik rakyat, mentafsir dan mengambil iktibar daripada setiap peristiwa.

"Bertemakan ‘Suara Jelata Aspirasi Negara’, Hawana 2022 berhasrat untuk meneruskan tradisi dan nilai-nilai murni kewartawanan tanah air serta beradaptasi bagi menghadapi cabaran baharu dunia digital pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Malaysia yang bertindak sebagai penggerak utama penganjuran Hawana 2022. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!