X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Sesi pendengar awam draf RTD, RKK 14 Jun ini: Young Syefura

Young Syefura (tiga dari kanan) hadir mendengar taklimat bantahan kepada RTD dan RKK yang dianjurkan oleh sukarelawan yang terdiri daripada penduduk kampung di Riverside Kampung Janda Baik pada Ahad.
A
A

KUANTAN - Sesi pendengaran draf Rancangan Tempatan Daerah Bentong (RTD) dan Rancangan Khas Kawasan (RKK) Janda Baik antara penduduk dengan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) akan diadakan pada 14 Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, pendengaran itu diadakan bagi membincangkan beberapa kandungan draf RKK dan RTD yang tidak dipersetujui oleh penduduk tradisi di Kampung Janda baik.

"Saya dimaklumkan sesi pendengaran itu akan dilaksanakan di MPB pada 14 Jun nanti, namun lokasi itu kemungkinan akan berubah ke Kampung Janda Baik.

"Ini kerana ramai penduduk kampung Janda Baik mahu sesi pendengaran itu diadakan di kawasan penempatan mereka kerana semua penduduk mahu turut serta," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sebelum itu, Young Syefura hadir pada mendengar taklimat bantahan kepada RTD dan RKK yang dianjurkan oleh sukarelawan yang terdiri daripada penduduk kampung di Riverside Kampung Janda Baik pada Ahad.

Taklimat terbabit dihadiri lebih 145 penduduk di kampung Janda Baik.

RKK itu adalah rancangan bagi membangunkan Kampung Tradisional Melayu, di situ kepada destinasi pemukiman pelancongan eko yang mampan bertaraf antarabangsa.

Beliau menjelaskan tiga perkara utama yang dibantah oleh penduduk kampung terbabit berkaitan pewartaan jalan dan rizab sungai dan pengambilan tanah lot yang menjadi faktor penduduk hilang penempatan.

Katanya, penduduk bimbang pelaksanaan RKK akan menyebabkan berlakunya pengambil alihan hak milik, perobohan rumah bagi tujuan pembangunan eko pelancongan bertaraf antarabangsa di kawasan tersebut.

"Saya mendengar sendiri keluhan dan pandangan penduduk di Janda Baik mengenai sebab mengapa mereka membantah kedua-dua rancangan ini. Rata-rata mereka membantah kerana rancangan ini jika diteruskan dan diwartakan akan menindas mereka dari segi pemilikan tanah.

"Jika dilihat melalui draf yang telah disediakan, tidak mustahil ada penduduk yang akan kehilangan kediaman mereka. Jadi sebab itu, pentingnya sesi pendengaran membabitkan penduduk dengan agensi berkaitan supaya satu keputusan secara menang-menang dapat dicapai kedua-dua pihak," katanya.

Sehubungan itu, Young Syefura menyeru supaya MPB dan kerajaan Pahang supaya mempertimbangkan semula rancangan ini dengan mengambil kira pandangan penduduk.

"Kalau boleh adakan pindaan terhadap draf yang telah disediakan. Penduduk di Janda Baik tidak menolak sebarang pembangunan untuk kesejahteraan hidup mereka. Mereka melawan penindasan yang berlaku yang akan mengakibatkan mereka kehilangan harta mereka," ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 1,544 borang cadangan dan bantahan awam telah dikemukakan oleh penduduk kepada MPB yang membantah pelaksanaan RKK di kampung mereka.

Mereka mendakwa draf RKK itu dilihat tidak memihak kepada penduduk dan mereka yang kemungkinan besar bakal hilang penempatan draf RKK dilaksanakan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!