'Amaran dulu kepada premis pemilik sebelum tindakan tegas'

Nolee Ashilin (tiga dari kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Rumah Terbuka Hari Raya MyBHA, MUH, MATTA dan PPPBP di Hotel Travelodge pada Ahad.
Nolee Ashilin (tiga dari kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Rumah Terbuka Hari Raya MyBHA, MUH, MATTA dan PPPBP di Hotel Travelodge pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan pendekatan berhemah dengan memberi amaran kepada penyewa-penyewa yang tidak memanfaatkan penggunaan premis pemilik untuk menjalankan perniagaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kelonggaran itu bagi memberi peluang kepada penyewa untuk memulakan kembali perniagaan mereka pada fasa peralihan endemik ini.

"Lazim kita ambil tindakan sekiranya mereka tidak mematuhi apa yang ditetapkan atau mengikut syarat apabila menjadi penyewa. Kita telah bagi banyak kelonggaran semasa menghadapi fasa pandemik.

"Ramai antara peniaga-peniaga juga mungkin tidak berpeluang memulakan perniagaan mereka semula, jadi kita akan mengambil pendekatan berhemah dengan memberi amaran," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Persatuan Hotel Malaysia (MUH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak (PPPBP) di Hotel Travelodge di sini pada Ahad.

Menurut Nolee Ashilin, tiada tempoh masa yang ditetapkan namun, tindakan boleh diambil oleh semua PBT di negeri ini.

"Tindakan lebih tegas boleh diambil sama ada mengenakan penalti atau menamatkan kontrak penyewaan mereka.

"Saya tidak mendapat aduan secara keseluruhan di negeri ini mungkin kes sebegini berlaku di lokaliti-lokaliti tertentu," katanya.

Sinar Harian melaporkan semua PBT di negeri ini digesa mengambil tindakan terhadap penyewa yang tidak menggunakan premis milik mereka supaya ia dapat dimanfaatkan oleh usahawan lain.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, isu premis PBT yang tidak digunakan walaupun dibayar sewa banyak dibangkitkan dalam sesi dialog bersama usahawan sebelum ini.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada premis yang disewa dijadikan stor dan bukan dibuka untuk menjalankan perniagaan.