'Saya sedia pertahankan Lumut'

Mohd Hatta - Foto Bernama
Mohd Hatta - Foto Bernama
A
A
A

PARIT BUNTAR - Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kawasan Parlimen tersebut jika diberikan peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Mohd Hatta berkata, jenteranya di kawasan Parlimen itu sudah lama bekerja di peringkat akar umbi menyantuni rakyat terutama ketika dalam tempoh pandemik dalam masa dua tahun lalu.

Menurutnya, PRU15 mungkin akan lebih mencabar dan mencetuskan pertembungan lebih banyak penjuru seperti yang berlaku ketika beberapa siri Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

"Tidak mustahil untuk berlaku pertandingan beberapa penjuru pada PRU15 nanti berdasarkan situasi semasa, namun kita bersedia dengan segala kemungkinan itu.

"Kita terus bekerja untuk rakyat dan bertemu dengan pengundi sebanyak mungkin," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pakatan Harapan Negeri Perak di Tapak Laman Pengantin, Simpang Tiga di sini pada Ahad.

Mohd Hatta (dua dari kanan) dan Mujahid (tengah) bergambar bersama tetamu di Rumah Terbuka Aidilfitri Pakatan Harapan Negeri Perak di Tapak Laman Pengantin, Simpang Tiga, Parit Buntar pada Ahad.
Mohd Hatta (dua dari kanan) dan Mujahid (tengah) bergambar bersama tetamu di Rumah Terbuka Aidilfitri Pakatan Harapan Negeri Perak di Tapak Laman Pengantin, Simpang Tiga, Parit Buntar pada Ahad.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyerahkan segala keputusan mengenai kedudukan kerusi kepada pimpinan pusat.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, jika dikekalkan bertanding di kerusi Parlimen Parit Buntar itu satu kelebihan.

Ditanya kemungkinan akan berlaku pertembungan nama besar di kerusi Parlimen Parit Buntar, Mujahid beranggapan ia akan ditentukan oleh pengundi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri akan bertanding di kerusi Parlimen tersebut.