Dua tertuduh juvana kes bunuh CEO Cradle Fund dibenar jamin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua tertuduh juvana dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, ketika membenarkan permohonan jaminan itu, memutuskan bahawa kedua-dua remaja itu dikenakan wang jaminan sebanyak RM50,000 seorang.

Dalam penghakimannya, katanya, pemberian jaminan dalam kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh boleh diberikan atas budi bicara mahkamah.

Beliau berkata mahkamah mengambil kira usia tertuduh juvana yang masing-masing bawah 16 tahun semasa tarikh kejadian pada 13 Jun 2018 seperti di bawah peruntukan Seksyen 388 (1) Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, beliau mengenakan lapan syarat terhadap jaminan kedua-dua remaja itu. Beliau berkata syarat jamin tersebut ialah penjamin mestilah bukan ahli keluarga dan saksi kes, tidak boleh tinggal bersama ahli keluarga yang menjadi saksi, ​​​​​​​melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap minggu, perlu berada di kediaman masing-masing bermula jam 6 petang hingga 6 pagi setiap hari.

Selain itu, tidak boleh berada di tempat awam melainkan urusan pelajaran, tidak boleh meninggalkan kediaman tanpa kebenaran mahkamah, tidak dibenarkan meninggalkan negara dengan pasport diserahkan kepada mahkamah. Di samping itu, penjamin perlu memastikan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Ab Karim berkata keputusan mengenakan jaminan kepada tertuduh bukan sesuatu amalan luar biasa kerana sebelum ini ada tertuduh dalam kes bunuh dibenarkan ikat jamin termasuk seorang remaja berusia 12 yang didakwa membunuh anak perempuan guru tuisyennya berusia 11 tahun pada 2002.​

Beliau berkata remaja berkenaan itu tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah atas tuduhan mereka. Dalam pada itu, hakim, berkata, pihaknya bersetuju bahawa berdasarkan usia dan latar belakang, jika dilepaskan dengan jaminan, remaja berkenaan tidak akan hilang diri semasa perbicaraan atau mengganggu saksi.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Mac lalu, balu Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, bersama-sama dua remaja berkenaan, masing-masing berusia 14 dan 17 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas tuduhan membunuh Allahyarham.

Mereka bersama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, dituduh membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara jam11.30 malam pada 13 Jun, 2018, dan 4 pagi pada 14 Jun, 2018. ​​​​​​​ Pertuduhan itu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Nazrin mulanya dilaporkan maut dalam kebakaran di rumahnya dipercayai akibat telefon bimbitnya di dalam biliknya meletup.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin manakala remaja berkenaan diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik. -Bernama