Nafas pertingkat kadar pengeluaran baja 1,000 tan sehari

Laporan Sinar Harian pada Ahad lepas.
Laporan Sinar Harian pada Ahad lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengambil langkah meningkatkan kadar pengeluaran baja dengan keupayaan pemprosesan di kilang sebanyak 1,000 tan metrik sehari susulan isu kelewatan pembekalan Bantuan Baja Padi Kerajaan Persekutuan bagi musim 01/2022.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Nafas pada Jumaat, pengedaran ke kawasan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) turut digandakan bagi membolehkan petani mendapatkan bekalan baja untuk memenuhi keperluan mereka.

Katanya, Nafas juga akan terus mengutamakan keperluan kawasan yang kritikal dan terjejas dengan memastikan setiap pembekalan mencukupi mengikut keperluan sebenar pembajaan.

"Kelewatan ini adalah disebabkan isu kenaikan mendadak luar jangka bagi harga bahan mentah sehingga 100 peratus yang menyebabkan pembekal bahan mentah menghentikan bekalan," katanya memetik kenyataan terbabit di sini pada Ahad.

Menurutnya, masalah kelewatan itu juga turut berkaitan dengan perang di antara negara Rusia dan Ukraine yang telah mengakibatkan sekatan kepada pembekalan.

"Antara bahan mentah yang terjejas untuk tempoh tersebut adalah Urea, Diammonium Phosphate(DAP), Mono Ammonium Phosphate (MAP), Muriate of Postash (MoP)," katanya.

Tambah kenyataan terbabit, Nafas telah mengambil langkah dengan membuat pembelian bahan mentah dengan kadar segera bagi menangani permasalahan itu.

"Isu bahan mentah telah diselesaikan bagi membolehkan penghasilan baja padi diteruskan," katanya.

Beliau berkata, bagi musim 02/2022 dan akan datang, Nafas akan membuat persediaan awal dan lebih rapi bagi memastikan stok keperluan baja untuk setiap petani adalah mencukupi dan tiada kelewatan.

"Ini bagi memastikan industri padi negara tidak terjejas dan terus membangun," katanya.

Pada 22 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menyelesaikan segera isu kelewatan baja untuk kegunaan sawah padi yang menggusarkan petani di beberapa kawasan terlibat di Kedah.

Mahfuz berkata, ramai petani mendakwa belum menerima bekalan baja yang dikhuatiri mengganggu tumbesaran anak padi.