Econsave prihatin nasib mangsa kebakaran

Zamzuri (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Dana Econsave Prihatin kepada Azizan.
Zamzuri (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Dana Econsave Prihatin kepada Azizan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah keluarga di Sungai Pasir di sini terpaksa memulakan hidup baharu selepas rumah sewa didiami mereka terbakar pada 1 Syawal lalu.

Azizan Saad, 49, berkata, kejadian yang menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang berlaku ketika mereka sekeluarga berkumpul di rumah ibu bapa di Guar Chempedak, Yan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan berlaku kebakaran pada jam kira-kira 3 petang.

"Kami tak sempat selamatkan sebarang perkakas rumah dan semuanya hangus.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban," katanya.

Azizan (kiri) menceritakan kejadian kebakaran rumah sewa didiaminya yang menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Azizan (kiri) menceritakan kejadian kebakaran rumah sewa didiaminya yang menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kesukaran dihadapi keluarga Azizan mendapat simpati Pasaraya Econsave yang hadir menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, sumbangan daripada Dana Econsave Prihatin berupa barangan keperluan harian, perkakas elektrik dan barangan dapur bernilai RM1,000 diserahkan bagi membantu meringankan beban keluarga tersebut.

Menurutnya, sumbangan berkonsepkan memberi kepada pelanggan di mana hasil jualan yang diterima akan disumbangkan semula kepada mereka yang memerlukan.

"Kita mengharapkan agar mangsa tabah menghadapi dugaan dan kembali bersemangat memulakan hidup baharu," katanya.