Sila log masuk terlebih dahulu.

KFA rancang bina bangunan sendiri sempena penubuhan 100 tahun

Muhammad Sanusi (kiri) hadir pada Majlis Malam KFA 2022 di sebuah hotel di Langkawi pada malam Sabtu.
Muhammad Sanusi (kiri) hadir pada Majlis Malam KFA 2022 di sebuah hotel di Langkawi pada malam Sabtu.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) kini dalam perancangan untuk membina bangunan sendiri yang bakal dinamakan sebagai 'House Of Kedah Football' dengan sokongan korporat dan agensi kerajaan.

Menurut Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bangunan ini mampu menjadi mercu tanda kepada persatuan di samping meningkatkan lagi tadbir urus organisasi KFA demi pembangunan bola sepak di Kedah.

"KFA akan menuju ke 100 tahun penubuhannya pada tahun 2024. Sebagai sebuah persatuan bola sepak yang telah lama ditubuhkan, saya merasakan KFA seharusnya menjadi sebuah badan pentadbir sukan bola sepak yang lebih komersial serta berdaya saing.

"Sehubungan itu, bagi menuju ke arah tersebut, saya merancang dan berharap agar KFA dapat mempunyai sebuah bangunan serta fasiliti milik sendiri," katanya pada Majlis Malam KFA 2022 di sebuah hotel di Langkawi pada malam Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, bagi menjadikan KFA sebagai sebuah badan sukan proaktif, komersial dan berdaya saing, beliau berharap semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA dapat menjalinkan hubungan pintar bersama badan-badan korporat serta agensi-agensi kerajaan.

Menurutnya, bola sepak adalah sukan utama di negeri ini dan juga Malaysia.

"Saya selaku Menteri Besar Kedah dan Presiden KFA menyeru kepada semua syarikat korporat dan agensi kerajaan dapat membantu KFA agar sukan bola sepak di Kedah akan terus meningkat sejajar dengan kehendak semasa.

"Dalam usaha KFA untuk membina bangunan KFA, ia perlu mendapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak terutamanya syarikat korporat dan agensi kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: