1 daripada 3 kanak-kanak, remaja lewat dapat sokongan atasi kemurungan

Anita
Anita
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Dianggarkan satu daripada tiga kanak-kanak dan remaja yang mendapatkan perkhidmatan sokongan mental daripada Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) berada di tahap kemurungan kritikal termasuk berfikiran untuk mengakhiri hidup.

Presiden MIASA, Anita Abu Bakar berkata, keadaan tersebut berlaku kerana ibu bapa mereka tidak mempunyai kesedaran kurang arif terhadap masalah dihadapi kanak-kanak dan remaja tersebut sehingga ia menjadi semakin teruk.

Beliau berkata, kelewatan mendapatkan sokongan mental menyukarkan proses pemulihan daripada kemurungan.

“Ini kerana kanak-kanak dan remaja itu sudah putus asa atau terperangkap (dengan kemurungan) ketika dalam tempoh proses pemulihan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menjadi panel forum bertajuk ‘Kemurungan, adakah ia sebuah trend’ anjuran Seven Skies International School, di sini, pada Ahad.

Turut menjadi panel ialah Ahli Psikologi Klinikal dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Khairiah Abdul Razak dan Ketua Jabatan Pengajian dan Disiplin Islam, Seven Skies International School, Ahmad Kamaldeen.

Mengulas lanjut, Anita berkata, kemurungan dialami kumpulan itu mungkin tidak membawa kepada penyakit mental sekiranya ibu bapa bertindak awal dengan melakukan intervensi yang sepatutnya selepas menyedari anak mereka ada simptom berkaitan.

Khairiah (dua dari kiri), Anita dan Ahmad ketika menjadi panel pada forum bertajuk ‘Kemurungan, adakah ia sebuah trend’ yang dianjurkan di Seven Skies International School, pada Ahad.
Khairiah (dua dari kiri), Anita dan Ahmad ketika menjadi panel pada forum bertajuk ‘Kemurungan, adakah ia sebuah trend’ yang dianjurkan di Seven Skies International School, pada Ahad.

“Mungkin dengan hanya bertanyakan anak-anak, ia akan menyebabkan mereka didorong untuk menceritakan perasaan sekali gus mengelakkan penyakit mental kerana langkah pencegahan dilakukan lebih awal,” ujarnya.

Menurut Anita, antara simptom kemurungan yang boleh dikenal pasti oleh ibu bapa ialah perlakuan memencilkan diri seperti tidak mahu ke sekolah, hilang minat terhadap perkara yang disukai, sukar untuk fokus, perubahan corak waktu tidur dan pemakanan serta kerap sakit.

Katanya, ibu bapa perlu mendapatkan sokongan perkhidmatan mental profesional jika mendapati anak mereka mempunyai sekurang-kurangnya lima simptom kemurungan secara berterusan dalam tempoh dua minggu.

Anita memaklumkan MIASA menerima permintaan lebih 100,000 individu mendapatkan perkhidmatan sokongan mental sejak Ogos 2020 hingga Mac tahun ini dengan individu termuda berusia lapan tahun.

Sementara itu, Khairiah berkata, berkata, bagi menangan isu kemurungan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, ibu bapa perlu menormalisasikan perbincangan bersama anak-anak membabitkan isu tersebut.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu sensitif dan empati supaya anak-anak mereka lebih berani berkongsi masalah dan meminta bantuan.

Untuk rekod, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.