Terengganu muktamad tidak sertai perjanjian dengan PAAB

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga, kanan) meninjau projek ciptaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut semasa melawat ruang pameran sempena Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Yayasan Terengganu, pada Ahad. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan Terengganu untuk tidak menyertai Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) adalah muktamad.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, arahan sudah diberi kepada semua agensi kerajaan negeri supaya tidak mengadakan apa-apa perbincangan lagi mengenai perkara berkenaan selepas ini.

"Keputusan kita muktamad. Aset-aset kerajaan negeri itu masih lagi dengan kerajaan negeri, jadi tidak ada apa-apa yang nak dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 tahun Yayasan Terengganu di sini, pada Ahad.

Terengganu adalah satu-satunya negeri di Semenanjung yang masih belum menyertai perjanjian dengan PAAB ketika ini.

PAAB adalah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 2006 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang membantu kerajaan Persekutuan merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara.

Ia juga adalah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung dengan kadar pembiayaan yang berdaya saing. - Bernama