Ubah dasar hadapi status Malaysia menua: Mustapa

Mustapa
Mustapa
A
A
A

JELI - Kerajaan perlu mengubah dasar negara antaranya membabitkan aspek pembangunan ekonomi dan kesihatan dalam persediaan Malaysia menghadapi status negara menua menjelang tahun 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, impak negara menua merentasi pelbagai sektor dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan serta kebajikan warga emas sahaja.

Katanya, penduduk di Malaysia yang berusia 65 tahun sehingga paling tua 120 tahun dicatatkan sebanyak 6.8 peratus daripada jumlah keseluruhan 32.4 juta penduduk negara ini pada tahun 2020 menghampiri angka tujuh peratus status negara menua manakala negara tua (14 peratus) dan negara tertua (20 peratus).

“Impak negara menua bergantung sejauh mana persediaan sesebuah negara merangkumi cabaran aspek kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti, tenaga buruh dan penggunaan teknologi yang akan menentukan pertumbuhan ekonomi lebih mampan dalam jangka panjang.

“Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) merancang pembangunan sosioekonomi negara jangka sederhana dan panjang untuk mewujudkan agenda negara menua dengan sokongan oleh kementerian-kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Penerbitan Statistik Subnasional DUN serta Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, pada Ahad.

Mustapa (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Pelancaran Penerbitan Statistik Subnasional DUN serta Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, pada Ahad.
Mustapa (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Pelancaran Penerbitan Statistik Subnasional DUN serta Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.

Mengulas lanjut, berdasarkan Ageing in The Twenty - First Century, United Nations (2012) penuaan penduduk disifatkan sebagai fenomena global masa kini dengan individu warga tua menjadi penyumbang sebahagian besar komposisi daripada keseluruhan jumlah populasi.

“Trend penduduk menua berlaku disebabkan oleh peningkatan jangka hayat impak daripada tahap pendidikan penjagaan makanan dan kesihatan yang baik.

“Juga faktor penurunan kadar kesuburan yang ada kaitan dengan penduduk bekerjaya di bandar dan kekangan kediaman seperti apartment serta kos sara hidup yang meningkat,” katanya.

Tambah beliau, jumlah penduduk di negara ini pada tahun 2020 ialah 34.4 juta berbanding 27.5 juta pada tahun 2010 dengan catatan pertumbuhan lebih perlahan dengan kadar 1.7 peratus setahun bagi tempoh 2011 hingga 2020 berbanding 2.1 peratus setahun bagi 2001 hingga 2010.

“Bilangan penduduk tertinggi mengikut daerah adalah di Petaling, Selangor dengan 2.3 juta, Johor Bharu, Johor (1.7 juta) dan Ulu Langat, Selangor (1.4 juta).

“Perak pula mencatatkan peratus penduduk tua tertinggi sebanyak 8.9 peratus diikuti Perlis dan Kedah masing-masing 7.9 peratus serta Sarawak sebanyak 7.5 peratus," katanya.