Pemimpin negara, pembangkang ucap Selamat Hari Wartawan Nasional

Gambar atas dari kiri: Anwar Ibrahim, Noraini Ahmad, Saifuddin Abdullah. Gambar bawah dari kiri: Reezal Merican, Rina Mohd Harun, Ahmad Faizal Azumu.
Gambar atas dari kiri: Anwar Ibrahim, Noraini Ahmad, Saifuddin Abdullah. Gambar bawah dari kiri: Reezal Merican, Rina Mohd Harun, Ahmad Faizal Azumu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 cukup bermakna buat warga media yang menjadi wira tidak didendang dan barisan hadapan di sebalik setiap peristiwa yang berlaku di negara ini.

Ucapan oleh pemimpin negara dan pembangkang sempena sambutan itu memenuhi laman media sosial pada Ahad yang mengiktiraf peranan wartawan dan pengamal media yang sentiasa menyalurkan maklumat walaupun terpaksa meredah bahaya dan berdepan risiko.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, wartawan tidak sekadar melaporkan kejadian, insiden, kemalangan, malapetaka, tragedi mahupun acara keraian, sebaliknya mereka juga mampu mencorak dan memacu pembangunan dan kelestarian negara.

"Tanpa para wartawan, kita tidak dapat mengetahui maklumat sahih berkaitan sebarang kejadian.

"Semoga wartawan-wartawan di Malaysia dapat terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, menyajikan informasi yang benar dan berkualiti demi menyatukan dan membangunkan Keluarga Malaysia dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menghargai jasa dan bakti para wartawan menyifatkan mereka berperanan penting dalam membawa maklumat sahih serta mewakili suara dan aspirasi masyarakat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, peranan wartawan amat kritikal dalam menjana satu sistem yang adil, demokratik dan saksama.

"Justeru, saya sanjung peranan wartawan selama ini dan mendoakan mudah-mudahan mereka dapat membawa perubahan dengan media yang bebas dan adil,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, dalam kepesatan era teknologi maklumat hari ini, wartawan sangat memainkan peranan penting bagi menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Noraini berkata, pengamal media juga merupakan tunjang utama dalam membentuk corak pemikiran masyarakat.

"Terima kasih atas pengorbanan masa, tenaga dan buah fikiran dalam menjalankan amanah tugas sebagai wartawan,” katanya.

Tidak ketinggalan mengucapkan selamat Hari Wartawan Nasional adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sambil menyifatkan tugas serta peranan wartawan semakin mencabar lebih-lebih lagi dalam dunia yang disebut sebagai ‘hyper-connected’.

Bagaimanapun, Reezal Merican berkata, pengamal media berjaya menggalas tugas mereka dengan baik dan penuh tanggungjawab.

"Ramai yang saya kenali secara peribadi dan saya tahu, mereka ini cukup komited dengan ‘assignment’ (tugasan) masing-masing,” kata Reezal Merican menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, pada Ahad.

Reezal Merican turut berterima kasih atas sumbangan besar wartawan dalam menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan, hebahan maklumat dan berita yang sahih, pantas dan dengan penuh integriti khususnya berkaitan kementerian itu.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berterima kasih kepada seluruh wartawan di Malaysia yang banyak menyampaikan maklumat serta pandangan dengan telus dan ikhlas.

Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata, wartawan mempunyai peranan yang sangat besar untuk membina minda rakyat melalui berita, rencana, pandangan atau dokumentari yang disampaikan.

Justeru, beliau berkata, setiap wartawan harus memiliki keberanian yang tinggi untuk menyampaikan kebenaran dan kritikan membina. - Bernama