15 pemandu mabuk ditahan

Penunggang motosikal yang ditahan kerana memiliki dua peket dadah dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.
Penunggang motosikal yang ditahan kerana memiliki dua peket dadah dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 15 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua lelaki berusia 23 hingga 59 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, operasi yang dijalankan sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) melibatkan 19 pegawai dan 115 anggota JSPT Kuala Lumpur.

"Dalam operasi itu, polis turut menahan enam remaja lelaki berusia 16 hingga 22 tahun kerana melakukan aksi berbahaya seperti zig zag, roket, superman serta bersaing.

"Mereka juga dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, dua lelaki berusia 24 dan 40 tahun turut ditahan kerana menunggang motosikal disyaki dicuri.

"Suspek telah diserahkan kepada balai polis berkaitan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah beliau, polis juga menahan seorang lelaki berusia 37 tahun serta merampas dua peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal warna putih yang disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat lebih 500 gram.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, seorang seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun turut ditahan kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut Sarifudin, secara keseluruhan sebanyak 655 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 23 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.