1,000 kenderaan Thailand dijangka masuk Kelantan hujung minggu

Mohd Misuari (tengah) dan Samphan (kiri) semasa membuat tinjauan di Stesen Kawalan Sempadan Rantau Panjang pada Ahad.
Mohd Misuari (tengah) dan Samphan (kiri) semasa membuat tinjauan di Stesen Kawalan Sempadan Rantau Panjang pada Ahad.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sebanyak 1,000 buah kenderaan persendirian dari Thailand dijangka akan masuk ke negeri ini pada hujung minggu selepas kerajaan kedua-dua negara memberikan kebenaran kepada rakyat untuk berbuat demikian bermula 1 Jun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, jumlah tersebut melibatkan tiga pintu utama masuk ke negeri ini iaitu Stesen Kawalan JPJ Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Jeli.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua kenderaan persendirian milik warga Thailand yang ingin memasuki negara ini perlulah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara bertarikh 1 April 2022," katanya pada sidang media di Stesen Kawalan Sempadan Rantau Panjang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Narathiwat, Samphan Yusoff dan Pegawai Daerah Golok, Anirud Buaon.

Menurut Mohd Misuari, JPJ akan mengeluarkan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) di Stesen Kawalan Sempadan bagi kemasukan kenderaan ke negara ini.

Beliau berkata, pemohon perlu mengemukakan dokumen yang telah ditetapkan dan lulus pemeriksaan kenderaan.

Beliau menjelaskan, antara syarat yang dikenakan adalah termasuk borang permohonan Permit Peredaran Antarabangsa (JPJK9), Borang Pengisytiharan Penumpang (JPJK9A), salinan pasport pemohon (pemandu/ pemilik), salinan sijil perakuan pendaftaran kenderaan dan sebagainya.

“Semua pengembara diingatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan sekali gus bagi mengelakkan berlaku kesesakan lalu lintas di pintu sempadan masuk antarabangsa negara.

"Bagaimanapun, pas kawalan sempadan tertakluk kepada tempoh masa kebenaran masuk yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pada hari biasa, pihaknya menjangkakan sebanyak 150 buah kenderaan persendirian akan memasuki negara ini.

Sementara itu, Samphan berkata, pembukaan semula sempadan melalui jalan darat dengan kenderaan persendirian pada 1 Jun ini dilihat mampu merancakkan proses pemulihan ekonomi di kedua-dua buah negara.

"Ketika ini, keadaan di bandar Golok sunyi tanpa kedatangan pelancong terutamanya dari Malaysia termasuk dari Kelantan.

“Malah, masyarakat juga tidak perlu khuatir dan berasa takut dengan insiden serangan yang berlaku tempoh hari di Tak Bai memandangkan keselamatan pengunjung terutamanya di kawasan Golok adalah selamat selain pasukan keselamatan juga kerap membuat rondaan,” katanya.