[VIDEO] JHEAIK siasat amalan khurafat di Gunung Jerai

Video tersebut yang menunjukkan beberapa amalan di Gunung Jerai, Kedah tular sejak beberapa hari lalu di laman sosial menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.
Video tersebut yang menunjukkan beberapa amalan di Gunung Jerai, Kedah tular sejak beberapa hari lalu di laman sosial menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) menyiasat satu ritual amalan khurafat dipercayai dilakukan di atas Gunung Jerai yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd Yusri Md Daud, berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada orang ramai mengenai video tular durasi satu minit di laman sosial.

"JHEAIK amat memandang berat dan sedang menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Yusri berkata, jika sabit kesalahan, Seksyen 4 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Tambahnya, Seksyen 7 Enakmen yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Pada masa yang sama, JHEAIK melalui Bahagian Penyelidikan akan terus mengadakan siri-siri penerangan di seluruh negeri berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

"JHEAIK akan terus memberikan penerangan kepada masyarakat dan pada masa yang sama sentiasa memantau aktiviti-aktiviti keagamaan di seluruh negeri Kedah," ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya meminta agar masyarakat sentiasa peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan.

"JHEAIK juga amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta berpandukan sumber dalil daripada al-Quran dan As-Sunnah," jelasnya.

Sementara itu, video tular yang menunjukkan beberapa amalan di Gunung Jerai, Kedah menarik perhatian ramai hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.