Gerakan minta MOT kaji semula perkhidmatan feri

Tong Keong (tengah) mencadangkan agar perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar dipulihkan bagi menangani masalah kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang.
Tong Keong (tengah) mencadangkan agar perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar dipulihkan bagi menangani masalah kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mencadangkan Kementerian Pengangkutan mengkaji semula untuk melaksanakan semula perkhidmatan feri di negeri ini sebagai laluan alternatif.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar amat diperlukan untuk pengguna jalan raya terutamanya rakyat Pulau Pinang yang berulang alik antara bahagian pulau ke Seberang Jaya.

Menurutnya, penggunaan laluan alternatif terutamanya pada waktu puncak adalah yang paling penting kerana jumlah kenderaan pada waktu itu meningkat.

"Jumlah kenderaan yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang semakin meningkat selepas kerajaan menghentikan perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar sejak awal tahun lalu. Sejak itu, kesesakan lalu lintas di jambatan pertama amat teruk terutamanya jika berlaku kemalangan.

"Sekiranya perkhidmatan feri dipulihkan, pengguna boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan feri jika berlaku kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang. Pengguna boleh memilih laluan mana yang mereka mahu untuk mengelakkan terkandas dalam kesesakan.

"Bukan sahaja waktu puncak, ketika cuti umum atau musim perayaan juga, jambatan sesak kerana pengguna tiada alternatif lain," katanya ketika mengadakan sidang media di pekarangan Terminal Pangkalan Weld di sini pada Ahad.

Tambah Tong Keong, keputusan Kementerian Pengangkutan menamatkan perkhidmatan feri dilihat satu keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa.

"Keputusan kementerian itu juga seperti tidak dirancang dengan teliti. Pihak berkuasa seharusnya membenarkan dua buah feri untuk terus digunakan oleh kenderaan empat tayar. Sebagai kerajaan, kementerian perlu mengutamakan kepentingan rakyat berbanding dengan isu kos pengendalian pengangkutan awam.

"Kerajaan di negara lain tidak mengambil kira keuntungan yang dijana melalui pengangkutan awam, sebaliknya lebih fokus kepada kepentingan rakyat. Penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam bukan untuk menjana keuntungan tetapi sebagai salah satu kemudahan asas untuk rakyat," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar waktu perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar diadakan pada waktu puncak, iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan dari jam 4 petang hingga 9 malam,

"Berdasarkan laporan berita, kira-kira 61,000 buah kenderaan direkodkan menyeberang Jambatan Pulau Pinang setiap hari selepas rentas negeri dibenarkan.

"Sebelum Covid-19 melanda, terdapat kira-kira 1.7 juta kenderaan yang masuk ke bahagian pulau dan ia akan meningkat ketika cuti umum. Oleh itu, kita berpendapat masalah kesesakan lalu lintas di jambatan dapat dikurangkan sekiranya perkhidmatan feri dapat dilaksanakan semula," katanya.

15 Disember tahun lalu, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari 2021 yang mana, feri Ro-Ro hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.

Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri Ro-Ro.

Bermula 1 Januari tahun ini hingga Jun, penggunaan feri laju dan feri Ro-Ro adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan 'vehicle transporter' digunakan.