X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Pesta Kaamatan: Bekalan ayam di Sabah cukup, penduduk jangan panik

Pegawai KPDNHEP Sabah memeriksa bekalan ayam di pasar sekitar Sabah.
A
A

KOTA KINABALU - Pengguna di negeri Sabah tidak perlu membuat pembelian panik ayam terutama menjelang perayaan Pesta Kaamatan kerana bekalan bahan mentah itu mencukupi.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan di pelbagai peringkat termasuk peruncit dan pemborong di seluruh negeri mendapati bekalan ayam masih mudah diperoleh di pasar utama, pasar raya dan kedai runcit.

Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan bekalan ayam termasuk barang keperluan asas yang lain dijalankan setiap hari oleh KPDNHEP Sabah bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas tidak terputus dan dijual pada harga yang berpatutan.

"Di Sabah, penternak ayam tempatan dan pembekal masih mampu menampung bekalan di pasaran tempatan.

"Terdapat 19 penternak ayam pedaging utama yang boleh mengeluarkan sebanyak tiga juta ekor ayam sebulan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Georgie berkata, berdasarkan laporan harian pemeriksaan ayam di seluruh Sabah, purata ayam disembelih dalam tempoh sebulan adalah dianggarkan sebanyak tiga juta ekor iaitu purata 100,000 ekor ayam sehari.

"Bekalan ayam yang dihantar ke pasar raya utama di Sabah pula adalah sebanyak 100 hingga 300 ekor ayam sehari.

"Memandangkan permintaan ke atas kepak ayam yang meningkat pada setiap kali musim perayaan di Sabah, maka kerajaan melalui KPDNHEP telah menyenaraikan kepak ayam sebagai barang harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan yang berkuat kuasa pada 27 Mei ini hingga 2 Jun depan," katanya.

Katanya, KPDNHEP sedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian dan agensi terutama berhubung isu harga serta bekalan ayam khasnya di Sabah.

"Ini termasuk membabitkan undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!