'Tolong bina asrama pekerja berpusat di tempat lain'

Mohd Fahmi (tengah) bersama penduduk melakukan bantahan pada pagi, Ahad.
Mohd Fahmi (tengah) bersama penduduk melakukan bantahan pada pagi, Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS - "Tolong bina di tempat lain dan bukan berhampiran dengan kawasan perumahan kami".

Demikian luahan suara sekumpulan penduduk di sekitar Bandar Bertam, di sini yang membantah cadangan pembinaan asrama pekerja berpusat (CLQ) berhampiran Taman Mekar Sari kerana dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah sosial pada masa akan datang.

Wakil Gabungan Komuniti Bandar Putra Bertam, Mohd Fahmi Rejab berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, penduduk tempatan akan terdedah dengan pelbagai risiko sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka.

Menurutnya, di Bandar Bertam Putra sahaja mempunyai 3,800 unit rumah manakala Mekar Sari hampir 4,000 unit rumah.

"Bukan dua taman perumahan ini sahaja yang akan terjejas malah ada beberapa lagi kawasan perumahan turut terkesan sekiranya projek ini terus dilaksanakan.

"Bukan tiada yang bagus dalam kalangan mereka ini (pekerja asing), ada juga bagus kerja kuat namun dari segi masalah sosial akan timbul selepas ini, kita tidak tahu.

"Setahu saya indeks jenayah di kawasan ini tidak begitu tinggi dan bila benda ni berlaku (pembinaan asrama) kami bimbang ia akan menyebabkan indeks jenayah meningkat," katanya ketika ditemui media selepas melakukan bantahan aman berhampiran tapak projek, pada pagi Ahad.

Sekumpulan penduduk di sekitar Bandar Bertam, di sini membantah cadangan pembinaan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ).
Sekumpulan penduduk di sekitar Bandar Bertam, di sini membantah cadangan pembinaan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ).

Dalam pada itu, Mohd Fahmi berkata, penduduk juga bimbang masalah lain akan timbul termasuk dari segi kesesakan trafik dan pencemaran sampah.

Katanya, komuniti setempat di sini berharap pemaju dan Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) mengkaji semula lokasi cadangan pembinaan asrama pekerja 10 tingkat tersebut demi keselesaan penduduk.

"Surat bantahan juga sudah dihantar ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang serta agensi berkaitan berhubung bantahan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai bantahan penduduk mengenai cadangan pembinaan asrama pekerja di kawasan tersebut.

Tambahnya, kebenaran merancang belum dikeluarkan untuk pembinaan asrama pekerja tersebut sebaliknya, kebenaran hanya dikeluarkan untuk pembinaan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi.