MOSTI bangunkan makmal bergerak RM10 juta

Adham (tengah) merasmikan sambutan Jubli Emas Jabatan Kimia Negeri Johor di Kampung Semangar Dalam di Kota Tinggi pada Ahad.
Adham (tengah) merasmikan sambutan Jubli Emas Jabatan Kimia Negeri Johor di Kampung Semangar Dalam di Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Sebuah makmal bergerak bernilai RM10 juta sedang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membolehkan kes pencemaran bahan kimia yang berlaku di negara ini dapat disiasat dengan pantas dan tepat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, makmal terbabit akan diletakkan di Ibu Pejabat Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya dan akan digerakkan ke lokasi sekiranya berlaku pencemaran bahan kimia di semenanjung Malaysia.

Dalam masa yang sama katanya, MOSTI turut membangunkan dua unit bas makmal bergerak bernilai RM200,000 yang akan ditempatkan di Johor Bahru dan Bintulu Sarawak.

"Makmal bergerak ini yang diletakkan di Ibu Pejabat Jabatan Kimia sedang dibangunkan dan dijangka mula beroperasi pada hujung 2023 manakala bas makmal bergerak pula dijangka beroperasi pada awal tahun depan.

"Johor Bahru dipilih kerana dilaporkan berlaku banyak kes pencemaran bahan kimia sebelum ini. Bintulu pula dipilih kerana terdapat kawasan industri minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kimia ke Desa Sempena Sambutan Jubli Emas Jabatan Kimia Malaysia di Kampung Semangar Dalam di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Datuk Mohamed Zaini Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Kimia Negeri Johor, Norizan Jaafar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, langkah membina makmal terbabit merupakan pendekatan terbaharu dan proaktif bagi Jabatan Kimia Malaysia untuk berdepan dengan pencemaran terutama melibatkan bahan kimia selepas ini.

"MOSTI juga akan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat bagi memperluaskan unit makmal bas bergerak ke lebih banyak negeri selepas ini.

"Langkah itu dapat memastikan rakyat di negara ini dapat dilindungi daripada pencemaran berbahaya terutama kimia sekiranya ia berlaku, selain menjamin masa depan yang lebih baik," katanya.