Terpaksa guna duit raya anak untuk teruskan hidup

Othman menunjukkan lokasi dia jatuh ketika sedang membaiki bumbung sehingga menyebabkan tangan kirinya patah.
Othman menunjukkan lokasi dia jatuh ketika sedang membaiki bumbung sehingga menyebabkan tangan kirinya patah.
A
A
A

TUMPAT - Sebuah keluarga di Kampung Gerong, di sini terpaksa menggunakan duit raya anak-anak untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas suami yang menjadi 'kantung' kewangan sudah tidak dapat bekerja akibat terjatuh semasa sedang membaik pulih bumbung rumah.

Ros Adnin Rosli, 34, berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas suaminya, Othman Zakaria, 41, yang bekerja sebagai buruh binaan telah patah tangan kiri.

"Seboleh-bolehnya kami mahu elak guna duit raya anak-anak sebab itu hak mereka. Namun tiada pilihan, kalau tak guna berkemungkinan besar empat anak kami terpaksa menahan lapar," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Menurutnya, duit raya itu digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan utama iaitu makanan bagi mengelakkan mereka kelaparan.

Katanya, ada ketika dia terpaksa pulang ke rumah ibunya di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu untuk mendapatkan bekalan makanan selepas suami tidak dapat mencari rezeki.

Ros Adnin berkata, lebih memeritkan lagi anak keduanya, Muhamad Hafiz Rayyan, 6, disahkan menghidap penyakit kanser darah.

Muhammad Hafiz Rayyan (dua dari kanan) yang menghidap kanser darah memerlukan perhatian penuh daripada Ros Adnin dan Othman.
Muhammad Hafiz Rayyan (dua dari kanan) yang menghidap kanser darah memerlukan perhatian penuh daripada Ros Adnin dan Othman.

"Muhammad Hafiz Rayyan diserang penyakit kanser ini ketika berusia tiga tahun. Ekoran itu saya terpaksa berulang alik membawanya untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Disebabkan tangan suami patah, saya terpaksa membawa anak menaiki motosikal ke HUSM.

"Sepanjang Ramadan lalu kami terpaksa menumpang di rumah ibu kerana Muhammad Hafiz Rayyan kerap sakit dan dia kini sedang menjalani proses Radioterapi," katanya.

Menurutnya, Muhammad Hafiz Rayyan kini bergantung sepenuhnya kepada susu yang disumbangkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun stok itu semakin berkurangan.

Dia terpaksa mengurangkan pengambilan susu dan memberinya nasi dengan sayur-sayuran bagi memastikan Muhammad Hafiz Rayyan kekal sihat.

Ros Adnin berkata, setakat ini Muhammad Hafiz Rayyan ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

"Bantuan itu melibatkan kesihatan Muhammad Hafiz Rayyan dan ia sentiasa perlu dikemaskini dari masa ke masa," katanya.

Menurutnya, selain mengalami masalah kewangan mereka sekeluarga juga turut berdepan dengan keadaan rumah yang sudah uzur.

Katanya, setiap kali hujan lantai rumah akan dibasahi air dan situasi itu menyebabkan lantai menjadi reput.

Ros Adnin dan Othman menunjukkan keadaan lantai di rumahnya yang uzur.
Ros Adnin dan Othman menunjukkan keadaan lantai di rumahnya yang uzur.

Ros Adnin berkata, pendapatan suami tidak menentu dan dia yang tidak bekerja memberikan kesukaran untuk memperbaiki kebocoran serta kerosakan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan bantuan kepada Ros Adnin Rosli menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) di 03011-41-00005723-5.