X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

PBT digesa ambil tindakan penyewa tak guna premis

Zainol Fadzi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DPPM Perak di Lobi Residences [email protected] pada Ahad.
A
A

IPOH - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa mengambil tindakan terhadap penyewa yang tidak menggunakan premis milik mereka supaya ia dapat dimanfaatkan oleh usahawan lain.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, isu premis PBT yang tidak digunakan walaupun dibayar sewa banyak dibangkitkan dalam sesi dialog bersama usahawan sebelum ini.

Menurutnya, ramai usahawan memerlukan premis untuk menjalankan perniagaan, tetapi sukar mendapatkannya walaupun kelihatan seperti banyak premis perniagaan milik PBT yang kosong.

"Rakyat memerhatikan banyak premis yang kosong sedangkan ramai di luar sana memerlukan premis. Jadi sebagai Exco, saya mewakili usahawan minta kerjasama daripada PBT khususnya Yang Dipertua untuk melihat premis yang tidak dimanfaatkan sebaik mungkin supaya peluang itu dapat diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

"Kita minta PBT lihat perkara ini kerana mereka boleh meletakkan syarat kepada penyewa, jika premis disewa tidak digunakan dalam tempoh tertentu, tindakan boleh diambil," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPPM) Perak di Lobi Residences [email protected] di sini pada Ahad.

Zainol Fadzi berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada premis yang disewa dijadikan stor dan bukan dibuka untuk menjalankan perniagaan.

Jelasnya, walaupun sewa dibayar untuk setahun, ia bukan alasan untuk membiarkan premis tersebut kosong atau digunakan bagi tujuan yang tidak sepatutnya.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi lain yang mempunyai premis seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

"Kita telah minta Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (Step) untuk berhubung dengan agensi ini mendapatkan maklumat premis yang mereka ada untuk disewakan kepada usahawan memerlukan.

"Selepas itu, kita akan uar-uarkan kepada usahawan jika mereka berminat untuk menyewa premis milik agensi ini sebagai pilihan kepada premis milik PBT," katanya.

Beliau berkata, bukan semua perniagaan memerlukan premis di kawasan tumpuan sebaliknya terdapat industri kecil yang boleh beroperasi di kawasan terpencil seperti kedai mencetak baju dan sebagainya.

Katanya, terdapat usahawan Perak yang benar-benar memerlukan premis terpaksa ke negeri lain untuk memastikan mereka boleh beroperasi disebabkan kesukaran mendapatkan premis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!