X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

FAM harap Skuad B-23 dapat pendedahan berguna di Piala Asia 2022

Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Brad Maloney di KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Tashkent, Uzbekistan bagi menggalas cabaran di Piala Asia B-23 2022 bermula 1 Jun hingga 19 Jun 2022.- Foto Facebook FAM
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sasaran tinggi di bahu skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan pada kejohanan Piala Asia 2022 di Tashkent, Uzbekistan namun mahu skuad itu menimba sebanyak mungkin pengalaman beraksi pada kejohanan itu sebagai persiapan ke kejohanan sama pada tahun hadapan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, badan induk itu cuma berharap pasukan itu boleh melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Jika sebelum ini kita sasar ke peringkat separuh akhir tapi saya nak perbetulkan kenyataan itu...diharapkan saingan ini dapat dijadikan satu landasan baik menimba ilmu daripada pasukan Asia yang menyertainya (Piala Asia)," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Ahad.

Ditanya mengenai perubahan sasaran diletakkan sebelum ini, beliau berkata sebarang sasaran diletakkan seharusnya lebih bersifat realistik.

"FAM bukan tidak berani tetapi sasaran itu kena ‘ukur baju di badan sendiri’. Bukan tak yakin tapi kita kena realistik dalam meletak sebarang sasaran.

"FAM memang tidak meletakkan sasaran namun kita berharap skuad B-23 dapat buat yang terbaik, jadi ia satu pendedahan berguna," katanya.

Bagi saingan edisi kali ini, Malaysia dijadualkan bertemu juara edisi 2020, Korea Selatan pada 2 Jun, diikuti Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun) dalam perlawanan peringkat Kumpulan C di Stadium Lokomotiv dan Stadium Bunyodkor di Tashkent.

Piala Asia 2022 itu akan membuka tirai pada 1 hingga 19 Jun ini. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!