Usah undang bencana

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Isu pemilik unit kediaman strata yang melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran bukanlah perkara baharu di negara ini.

Isu tersebut kembali hangat diperkatakan selepas gambar ubah suai melampau rumah pangsapuri tular baru-baru ini.

Tindakan mana-mana pemilik yang melakukan pengubahsuaian itu layak dilabel sebagai pentingkan diri sendiri selain tidak memikirkan mengenai keselamatan orang lain.

Walaupun mungkin dikatakan tiada lagi insiden runtuhan membabitkan pengubahsuaian haram itu, namun risiko sepatutnya tidak diambil apatah lagi ia melibatkan nyawa orang ramai.

Malah, undang-undang yang telah dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bukan hanya sekadar peraturan kerana berdasarkan kepada penilaian risiko.

Rumah berstrata juga melibatkan bangunan yang tinggi dan sekiranya pengubahsuaian haram dilakukan, maka ia akan menggangu kestabilan bangunan tersebut.

Dalam masa sama, pemilik juga boleh dikenakan tindakan denda mengikut peraturan dalam Akta Pengurusan Strata 2013 dengan beberapa pengubahsuaian yang dilarang mengikut akta berkenaan di bawah Peraturan-peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Antara perkara yang dilarang adalah membina tingkat lantai lain, memindah atau menanggalkan mana-mana pintu atau tingkap dalaman petak, membuat perubahan kepada ciri keselamatan petak yang tidak tertakluk kelulusan.

Justeru, jangan kerana kita mahukan keselesaan, kita mengabaikan keselamatan diri sendiri dan nyawa orang lain.

Sudahlah rugi apabila dikenakan denda, silap-silap nyawa pun boleh melayang.