Liga Juara-Juara kembali ke bumi Madrid

Pemain-pemain Real Madrid meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara selepas menjinakkan Liverpool dalam perlawanan akhir di Paris.
Pemain-pemain Real Madrid meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara selepas menjinakkan Liverpool dalam perlawanan akhir di Paris.
A
A
A

REAL Madrid membuktikan kelab La Liga masih dalam kelas tersendiri di pentas kejuaraan Liga Juara-Juara apabila menjulang kejuaraan berprestij kelab bola sepak Eropah tersebut buat kali ke-14.

Gol babak kedua minit ke-59', Vinicius Junior sudah cukup membolehkan anak buah Carlo Ancelloti menewaskan kelab sensasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool 1-0 dalam perlawanan akhir di Stade de France, Paris.

Biarpun perlawanan akhir berintensiti tinggi itu tertangguh 35 minit akibat kekecohan di luar stadium, namun kedua-dua pasukan yang memiliki reputasi menakjubkan di saingan domestik ternyata tenang mempersembahkan aksi terbaik masing-masing.

Real Madrid berpeluang mendahului Liverpool sebelum rehat, namun jaringan penyerang sensasi Karim Benzema pada minit ke-42 dibatalkan selepas didapati ofsaid.

Bagaimanapun Vinicius Junior yang berpengalaman bersama-sama Brazil menebus kehampaan itu apabila berjaya meloloskan kawalan Trent Alexander-Arnold bagi menterjemahkan tindakan Fede Valverde untuk gol tunggal perlawanan tersebut.