Program Sinar Karangkraf Bersama Komuniti diperluas

Nik Justin (kiri) menyerahkan naskhah-naskhah al-Quran kepada Hasnur sambil disaksikan oleh Rosni (tengah) di Majlis Pelancaran Logo 50 Tahun Persatuan Anak-anak Kalumpang (PAK) serta Jamuan Raya PAK dan Koperasi Anak Kalumpang (KAK) di perkarangan Bangunan PAK, Kalumpang, di sini pada Sabtu.
Nik Justin (kiri) menyerahkan naskhah-naskhah al-Quran kepada Hasnur sambil disaksikan oleh Rosni (tengah) di Majlis Pelancaran Logo 50 Tahun Persatuan Anak-anak Kalumpang (PAK) serta Jamuan Raya PAK dan Koperasi Anak Kalumpang (KAK) di perkarangan Bangunan PAK, Kalumpang, di sini pada Sabtu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Program Sinar Karangkraf bersama Komuniti akan diperluaskan ke persatuan masyarakat setempat bagi mendengar permasalahan penduduk berkenaan dan mencari jalan penyelesaian isu tersebut.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, program berkenaan merupakan lanjutan daripada Konvoi Rasuah Busters yang bermula pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, program jelajah berkenaan sebelum ini hanya melawat tempat-tempat awam dan lebih tertumpu terhadap masjid dan rumah-rumah anak yatim.

"Jadi kami ingin meluaskan lagi program ini dengan menambah jumlah lawatan bukan setakat ke persatuan penduduk, malah Kelab Rukun Tetangga (KRT), pusat komuniti dan yayasan-yayasan yang diuruskan oleh rakyat sendiri.

"Sekarang pun dah masuk fasa peralihan endemik, dan memang tujuan asalnya sebelum pandemik pun kita nak keluar berjumpa dengan orang kuat komuniti yang memperkasakan masyarakat mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Logo 50 Tahun Persatuan Anak-anak Kalumpang (PAK) serta Jamuan Raya PAK dan Koperasi Anak Kalumpang (KAK) di perkarangan Bangunan PAK, Kalumpang, di sini pada Sabtu.

Hasnur (tiga dari kanan) bergambar bersama AJK PAK sempena Majlis Pelancaran Logo 50 Tahun Persatuan Anak-anak Kalumpang (PAK) serta Jamuan Raya PAK dan Koperasi Anak Kalumpang (KAK) di perkarangan Bangunan PAK, Kalumpang, di sini pada Sabtu.
Hasnur (tiga dari kanan) bergambar bersama AJK PAK sempena Majlis Pelancaran Logo 50 Tahun Persatuan Anak-anak Kalumpang (PAK) serta Jamuan Raya PAK dan Koperasi Anak Kalumpang (KAK) di perkarangan Bangunan PAK, Kalumpang, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nik Justin mewakili Sinar Karangkraf turut menyumbangkan sekitar 20 naskhah al-Quran kepada Persatuan PAK untuk diwakafkan ke masjid dan surau sekitar sini.

"Kemungkinan besar ia akan ditempatkan di masjid, yang mana komuniti dapat menggunakan al-Quran tersebut," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAK, Hasnur Hashim meluahkan rasa terharu apabila menerima kunjungan Sinar Karangkraf ke majlis mereka menyambut penubuhan persatuannya berumur setengah abad.

Katanya, persatuan tersebut setakat ini mempunyai seramai 171 orang ahli yang mana sebanyak 55 peratus daripada ahlinya berusia 60 tahun dan ke atas, manakala 36 peratus berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun, dan selebihnya berumur 18 hingga 39 tahun.

"Zaman serba canggih ini merupakan antara cabaran yang perlu ditangani oleh ahli-ahli persatuan untuk sentiasa mencari jalan bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai kami untuk meremajakan persatuan.

"Oleh itu, persatuan akan terus mencari jalan untuk menarik minat golongan remaja dan tak lupa golongan bawah 50 tahun yang banyak berada di luar Kalumpang dan tidak menyedari yang mereka ini ada asal usul di sini," katanya.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.