Falsafah Barat dan sastera Melayu

Abad 20 merupakan puncak falsafah Barat, oleh kerana ilmu sudah mencapai gunung tertinggi. - Gambar hiasan.
Abad 20 merupakan puncak falsafah Barat, oleh kerana ilmu sudah mencapai gunung tertinggi. - Gambar hiasan.
A
A
A

SEJARAH sastera Melayu moden dan pascamoden bermula dengan kemasukan pengaruh Barat. Meninggalkan sastera klasik dengan zaman sastera rakyat, pengaruh Hindu dan zaman Islam.

Cerpen Kecelakaan Pemalas karya Nor Ibrahim (1920), novel Hikayat Faridah Hanum karya Syed Sheikh Al-Hadi (1925), sajak Keluh Kesah karya Pungguk (1934) dan drama Lawyer Dahlan Shaharom Husain (1949) adalah permulaan zaman moden itu.

Bagaimanapun ada pendapat, Hamzah Fansuri (1589-1650) yang menghasilkan Rubaiat Hamzah Fansuri sebagai teks permulaan modenisme. Namun, para pengkaji bersetuju leluhurnya berasal dari Barat.

Untuk mengenal Barat yang menjadi induk sastera Melayu itu, kita wajib susuri dan telusuri pertumbuhan serta perkembangan tamadunnya terutamanya aspek pemikiran, idealisme dan falsafahnya.

Perkenalan dengan modenisme Barat akan membuka horizon pemikiran kita terhadap zaman moden dan pascamoden. Sedikit sebanyak ia akan memberi penjelasan, pemurnian dan pencerahan terhadap situasi, kondisi serta resepsi terhadapnya.

Tamadun Barat dibentuk oleh falsafah Greek yang mengemukakan manusia sebagai makhluk yang terus menerus berfikir untuk menguasai alam, menentukan prinsip bagi tindakannya sendiri demi mencapai kebahagiaan hidup, eudaimoinia.

Sastera Greek seperti Odyssey dan Illiad karya Homerus, dengan watak-wataknya penuh keberanian dan kebijaksanaannya menjelajah dunia, menghadapi segala cabaran untuk mendapat pengalaman baharu yang unik, menjadi ikutan sastera Barat.

Keilmuan Greek itu pernah ditransformasi oleh Islam pada zaman Abbasiyah, menjadi sebahagian pembinaan tamadun Islam, yang kemudiannya melalui jambatan tamadun Islam itu sebagai katalis dan menyedarkan Barat.

Barat menyaringnya melalui falsafah Farabi, Ibnu Rusyd, al-Kindi dan ramai lagi filosuf yang menyeberangi Mediterranean ke Cardova. Di sini Barat berhutang budi untuk sepanjang zamannya kepada Islam yang telah menunjukkan nilai intelektualisme sebagai pembuka pintu modenisme itu.

Namun, ia mengalami zaman kegelapan, hampir seribu tahun Barat dikuasai oleh gereja, menjadikan benua Eropah terpenjara dan terseksa, yang akhirnya membangunkan mereka untuk menentangnya.

Gerakan Renaissans yang bermula di Itali kurun ke-14 hingga matang di kurun ke-16, Barat mula menyedari kekuasaan ilmu pengetahuan yang boleh membawa mereka ke dunia baharu untuk membawa Eropah ke bibir modenisme.

Pegangan baharu

Seterusnya Barat memasuki zaman pertengahan, situasi yang disinonimkan dengan periodisasi keilmuan. Barat berjaya meninggalkan kuasa gereja dan menganggap selama ini agama menjerut mereka.

Humanisme menjadi pegangan baharu, sebuah indeksikal pengembalian ke asal manusia yang bebas. Sebenarnya mereka mahu dan ingin merdeka untuk membina individualisme. Dan penemuan bersejarah ialah penciptaan mesin cetak, lalu menyebarkan ilmu dan berita ke ceruk-ceruk kota dan perdesaan.

Pelbagai enjin dan mesin termasuk kompas yang menghantar manusia menyeberangi lautan, Diaz ke Tanjung Pengharapan, Columbus ke Amerika, da Gama ke India dan Magellan memastikan dunia ini bulat.

Sains menjadi Tuhan baharu bagi Eropah. Nikolaus Kopernikus (1473-1543) menemukan matahari adalah pusat semesta, bumi beredar mengelilingi matahari, Johannes Kepler (1571-1630) planet-planet bergerak mengikut paksinya, Galileo Galilei (1506-1642) pula menemui dan membuka benua keilmuan baharu. Francis Bacon (1561-1626) meletakkan dasar-dasar metode induksi dalam pengamatan ilmiah.

Pelbagai hasil ciptaan membawa dunia ke alam teknologi dan ia ditandai oleh cogito ergo sum yang diisyaratkan oleh Rene Descartes (1596-1650), sebagai pengemuka aliran rasionalisme, bahawa akal dan rasio sumber saintifik, dan ia digelar sebagai bapa zaman moden.

Ditambah oleh John Locke (1632-1704) dengan aliran empirisme, pengalaman asas ilmu dan Isaac Newton (1642-1727) memperteguhkannya. Kemuncaknya ialah zaman Renaisans pada abad ke 16, penandaan terhadap bertakhtanya aliran rasionalisme dan empirisme.

Abad ke-18 apabila Barat memasuki zaman Pencerahan, aufklarung, Issac Newton (1642-1727) menghidupkan semula metafizika klasik untuk diperbaharuinya supaya sesuai dengan zaman.

Voltaire (1694-1778) Barat sudah akil baligh, Immanuel Kant (1724-1804) manusia mencapai pendewasaannya. Jean-Jacques Rousseau (1712-1778) menemui aliran romantisisme dan Friedrich Hegel (1770-1831) mengemukakan aliran dialektik untuk melanggar fahaman perasaan romantisisme.

Namun, nama yang sangat penting ialah Auguste Comte (1798-1857) berakarnya fahaman positivisme, ilmu sebagai fakta yang objektif. Charles Darwin (1809-1882) pula sangat terkenal dengan teori evolusi dan falsafah perjuangan untuk survival. Karl Marx (1818-1883) kemudiannya mentransformasikan dialektik Hegel menjadi materialisme dialektik.

Di samping itu, pada setiap zaman didatangi oleh para intelektual seperti Hobbes, Locke, Berkeley, Leibniz, Voltaire, Montesquieu, Rousseau, Kant, Jefferson dan Franklin lebih memperkuat falsafah dan keilmuan Barat itu.

Abad 20 merupakan puncak falsafah Barat, oleh kerana ilmu sudah mencapai gunung tertinggi. Aliran vitalisme, fenomenologi dan sosiologisme berkembang subur.

Sementara falsafah construction Aristotle bersatu dan mekar atas nama strukturalisme yang sangat kukuh dan berpengaruh. Individualisme yang merajai budaya Barat melahirkan aliran eksistensialisme di bawah kendalian Karl Jaspers (1883-1969).

Tulang belakang

Suaranya bermelodikan sekularisme. Bahkan, ada yang lebih ekstrem Tuhan tidak diperlukan lagi, tiada mempunyai peranan apa-apa dalam menentukan nasib. Takdir di tangan manusia. Inilah kata-kata yang dimaksudkan oleh Nietzsche ‘tuhan sudah mati’.

Demikianlah falsafah Barat yang menjadi tulang belakang premis tamadunnya termasuk sastera dan budaya. Sasteranya berkembang seiring dengan idealisme dan modenisme, melahirkan beratus pengarang dan beribu karya sastera. Akhirnya mereka dapat menakluki dengan penghijrahan ilmu sastera ke seluruh dunia termasuk ke dalam sastera Melayu.

Namun, dengan kebijaksanaan dan keilmuan, para pengkaji dan teoriawan serta pengarang Melayu pada setiap era dan zaman, mereka melakukan saringan dan jaringan serta menyesuaikannya dengan tuntutan dan falsafah sastera Melayu.

Misalnya, sumbangan Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan gagasan Islamisasinya, dapat memilih dan menolak apa yang berlawanan dengan tamadun Melayu.

Kesimpulannya, sastera Melayu moden dan pascamoden bersumberkan Barat, namun hanya yang relevan dan yang sesuai sahaja perlu diambil, meninggalkan gagasan dan falsafah yang bertentangan dengan budaya bangsa Melayu terutamanya dengan agama Islam.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.