Beban ‘perang’ lonjakan harga barang

Lonjakan harga barang terutama item-item makanan dan minuman telah menyebabkan perbelanjaan itu meningkat kepada 89.1 peratus sehingga membawa kepada beban inflasi makanan. Gambar hiasan.
Lonjakan harga barang terutama item-item makanan dan minuman telah menyebabkan perbelanjaan itu meningkat kepada 89.1 peratus sehingga membawa kepada beban inflasi makanan. Gambar hiasan.
A
A
A

KONFLIK Rusia-Ukraine yang dijangka memberi impak kepada trend ekonomi Malaysia kini semakin menjadi realiti. Negara bagaikan dilanda ‘perang’ lonjakan harga barang yang mencetus inflasi makanan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah tempatan.

Krisis inflasi makanan susulan harga barang terus melambung tinggi dalam pasaran awam mengundang beban baharu kepada rakyat jelata selepas musibah pandemik Covid-19 yang masih berada dalam fasa peralihan endemik.

Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan rakyat Malaysia telah mengeluarkan perbelanjaan cukup tinggi untuk membeli makanan dan minuman sejak tahun lalu gara-gara harga barang melonjak secara drastik.

Lonjakan harga barang terutama item-item makanan dan minuman telah menyebabkan perbelanjaan itu meningkat kepada 89.1 peratus sehingga membawa kepada beban inflasi makanan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini menyatakan indeks harga pengguna (IHP) telah meningkat 2.3 peratus kepada 125.9 pada April 2022 berbanding 123.1 pada bulan sama tahun 2021.

Kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari tahun 2011 hingga April lalu iaitu 1.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keseluruhan wajaran IHP amat dipengaruhi oleh kenaikan inflasi makanan. Ia merupakan penyumbang terbesar.

Mohd Uzir menjelaskan, kenaikan inflasi makanan sebahagian besarnya berpunca daripada trend perbelanjaan orang ramai membeli komponen makanan dan minuman di luar kediaman. Misalnya, pada Mac lalu, peratusan dicatatkan adalah 4.0 dan telah meningkat kepada 4.4 peratus pada April lalu.

Sementara itu, bahan makanan mentah turut mengalami kenaikan terutama sayur-sayuran, daging, ikan dan makanan laut. Peningkatan harga sayur-sayuran sebanyak 4.5 peratus memberi implikasi besar kepada perbelanjaan rakyat tetapi faktor cuaca tidak menentu menjejaskan kematangan bahan mentah itu mengakibatkan bekalan telah susut di pasaran tempatan.

Tambahan pula, kenaikan harga baja, kos logistik dan kekurangan sumber tenaga manusia di tapak pertanian juga antara punca peningkatan harga sayur-sayuran yang mengundang kepada inflasi makanan.

Dalam pada itu, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2022 bermula pada 26 April sehingga 10 Mei lalu telah diimplementasikan oleh kerajaan bagi menstabilkan harga barangan dan memastikan bekalan terus ada dalam pasaran sebelum serta selepas musim perayaan.

Namun, Malaysia Nanban menyatakan pelaksanaan skim tersebut yang dipercayai mampu meredakan inflasi makanan sebenarnya kurang berjaya menurunkan harga barang di pasaran.

Akhbar harian itu menyatakan krisis lonjakan harga barang sememangnya telah menggandakan beban khususnya golongan B40 apabila didapati inflasi bagi kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 turut meningkat 2.3 peratus daripada 123.6 pada April tahun 2021 kepada 126.4 pada April lalu.

Senario kenaikan inflasi dipengaruhi terutama daripada makanan dan minuman itu sudah tentu membebankan kelangsungan hidup golongan berpendapatan rendah.

Jangkaan harga semua barang keperluan melonjak sekitar 50 hingga 60 peratus mulai Jun depan juga akan merumitkan lagi golongan berpendapatan rendah untuk mengimbangi perbelanjaan bulanan dan kekuatan ekonomi peribadi yang terjejas akibat inflasi makanan.

Susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan sikap peniaga yang tamak dengan mengadakan ‘perang’ pengisytiharan harga semata-mata untuk mengaut keuntungan besar satu demi satu telah mencetuskan inflasi makanan dan krisis kenaikan harga barang menggemparkan jiwa rakyat.

Rakyat berharap kerajaan mampu mengawal situasi agak getir itu dengan mengurangkan beban dipikul rakyat jelata dan mengembalikan keseimbangan harga barang dan inflasi makanan di negara ini.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor