Angkasa bantu atasi masalah kekurangan ayam

Abdul Fattah (empat dari kanan) selepas sidang akhbar Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) ke-36 pada Sabtu.
Abdul Fattah (empat dari kanan) selepas sidang akhbar Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) ke-36 pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) telah meluluskan RM14.26 juta untuk Projek Pembangunan Perniagaan Koperasi dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) ke-36 pada Sabtu.

Presiden Angkasa, Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, peruntukan tersebut akan digunakan dalam enam projek baharu termasuk membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negara.

Menurutnya, projek tersebut turut merangkumi penternakan ayam untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kebergantungan import makanan mentah itu.

"Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi, hanya terdapat 19 buah koperasi yang terlibat secara besar-besaran keluarkan ayam.

"Namun, hanya ada beberapa koperasi kecil yang keluarkan ayam dalam kuantiti yang sedikit. Koperasi ini yang kita akan perkasakan dengan memastikan mereka dapat mengeluarkan ayam dengan lebih banyak.

"Kami yakin dapat membantu kerajaan dalam situasi ini dan kita akan fokus kepada segmen koperasi tanpa mengganggu pasaran terbuka," katanya dalam sidang media Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) ke-36 pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan projek tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan dan akan mengenal pasti jumlah koperasi yang diperlukan.

"Berdasarkan statistik, seorang rakyat Malaysia secara puratanya memakan dua ekor ayam sebulan sekali gus pasaran memerlukan 14 juta ekor ayam sebulan dalam sektor koperasi.

"Jadi, kami akan melihat berapa banyak koperasi yang diperlukan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 5,000 ekor ayam sebulan," katanya.

Selain projek ayam, Angkasa merancang membina kilang pemprosesan, pembungkusan dan pemborongan beras jenama Melati, usahasama penanaman melon serta empat projek pembangunan perniagaan (Inkubator).

Dalam mesyuarat agung tersebut juga, turut berlangsung pemilihan Angkasa yang menyaksikan Abdul Fattah berjaya mempertahankan kerusi presiden dengan mendapat 1468 undi.

Selain itu, Mohd Azlan Yahya pula dipilih sebagai Anggota Lembaga Angkasa manakala Norizah Abdullah, Asruddin Abas, Dr Razali Hassan, Abdul Kadir Jailani Ismail, Alimen Ahmad dan Ahmad Masri Abdul Rasid dipilih sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa.