Sila log masuk terlebih dahulu.

Penganalisis asing unjur ringgit kembali kukuh dalam masa terdekat

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PENGANALISIS asing kekal yakin terhadap prospek pemulihan nilai ringgit yang akan kembali kukuh dalam masa terdekat, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam kenyataan pada Sabtu, beliau berkata, ini digambarkan oleh unjuran pertengahan keseluruhan mereka terhadap ringgit berbanding dolar AS pada suku kedua 2022, suku ketiga 2022, suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 dengan masing-masing mencatatkan 4.37, 4.35, 4.28 dan 4.27.

Menurutnya, bagi purata keseluruhan, unjuran penganalisis asing bagi ringgit berbanding dolar AS pada suku kedua 2022, suku ketiga 2022, suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 masing-masing pada 4.35, 4.37, 4.29 dan 4.25.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, penyusutan ringgit buat masa ini disumbangkan oleh faktor sementara termasuk unjuran situasi dasar monetari dunia dan kecairan tunai global yang terus mengetat, menyebabkan kegusaran komuniti pelabur antarabangsa.

"Akibatnya, mereka memperuntukkan semula pelaburan dalam aset yang menjana hasil yang lebih tinggi di AS. Ini telah menyebabkan kejatuhan nilai pelbagai mata wang dunia, termasuk ringgit,” katanya.

Beliau berkata, faktor lain adalah kelemahan yuan China disebabkan prospek pertumbuhan China yang dijangka lebih lemah tahun ini akibat sekatan pergerakan di bandar-bandar utama.

"Ini memberi impak kepada ringgit kerana jumlah dagangan Malaysia-China adalah besar, dengan eksport Malaysia ke China mewakili 10.7 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) berbanding 2.1 peratus di Indonesia dan 1.3 peratus di Thailand,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran mereka bagi pertumbuhan ekonomi China kepada 4.4 peratus daripada 8.1 peratus pada 2021.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, situasi ketegangan geopolitik dunia yang tidak menentu telah memberi tekanan kepada ekonomi seluruh dunia.

"Ini dicerminkan oleh nilai VIX atau "indeks ketakutan” pelabur yang meningkat kepada 25.7 mata pada 28 Mei, 2022 berbanding kadar purata sebelum ini, iaitu 18 mata.

"Ia turut menyebabkan pelabur beralih kepada ‘aset selamat’ (seperti emas dan dolar AS) yang menyebabkan tekanan menurun terhadap pelbagai mata wang, termasuk ringgit,” tambahnya. - Bernama