FAM tiada perancangan jadi tuan rumah Piala Asia 2023

 Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

MALAYSIA mungkin tidak akan menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 susulan penarikan diri China akibat peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira beberapa faktor termasuk kekangan masa.

“Saya rasa mungkin kita (Malaysia) tidak akan bida untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 sebab persediaan ke Piala Asia ini besar.

“Dari segi 'accommodation', mungkin kita tidak akan berdepan masalah namun apa yang menjadi masalah ialah menyediakan padang perlawanan.

“Ikut kriteria ditetapkan, tuan rumah perlu ada sekurang-kurangnya empat padang perlawanan selain perlu ada padang latihan yang kualitinya seakan sama seperti padang perlawanan yang sebenar.

“Dengan tempoh masa yang singkat, kami rasa agak mustahil untuk penuhi kriteria yang ditetapkan. Namun, semua ini bergantung kepada keputusan yang akan diputuskan dalam mesyuarat Exco kelak,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, peluang menganjurkan Piala Asia 2023 terbuka kepada semua 47 ahli gabungannya jika mereka berminat menggantikan China.

Menurut Windsor, ketika ini dokumentasi sedang dimuktamadkan sebelum ia dihantar kepada ahli gabungan dan pihaknya menanti bidaan dari negara yang berminat menjadi tuan rumah.

Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu, FAM menyasarkan skuad Bawah 23 tahun (B23) negara layak ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada bulan depan.

“Sasaran FAM adalah untuk berada dalam kelompok empat terbaik. Sekiranya kita layak dalam kelompok itu, mungkin ia akan mencerahkan peluang ke Olimpik Paris 2024,” ujarnya.