'Kami mahu tuntut keadilan untuk adik'

Noor aini
Noor aini
A
A
A

KANGAR - Keluarga Aina Dhabitah Sham yang mayatnya ditemui di Sungai Sentap Kampung Kodiang Lama,Kedah Sabtu lalu menuntut keadilan atas kematian remaja berusia 18 tahun itu.

Kakak mangsa, Noor Aini Sham, 29, berkata, mereka reda dengan pemergian adik bongsunya itu, namun mengharapkan hukuman setimpal kepada si pelaku.

Katanya, kejadian yang menimpa Aina adalah sesuatu yang sangat berat untuk diterima mereka sekeluarga.

"Allahyarham seorang yang ceria dan tak ada musuh, sebab itu saya tertanya-tanya apa salah adik saya sampai sebegini kejam dia diperlakukan.

"Kalau dia kemalangan, kemudian terjatuh dalam sungai, kami boleh terima.Sebab kami tahu dia tak boleh berenang. Tapi bila kami dapat tahu ada dalang di sebalik kejadian ni, kami mahukan keadilan untuk Allahyarham," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Noor Aini berkata, adiknya itu jarang keluar rumah pada waktu malam kecuali ketika bekerja di kedai makan berhampiran rumah mereka.

"Tapi masa hari kejadian, dalam jam 7 malam dia ada beritahu nak ke rumah bapa saudara kami yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah.

"Masa kat rumah bapa saudara kami, sepupu ada tanya kat Allahyarham, hang nak pi mana ambik helmet? Dia kata nak pi jumpa kawan, sekejap saja tapi tak bagitau nak jumpa di mana.

Artikel Berkaitan:

"Selepas dia tak balik-balik ke rumah, kami cuba cari Allahyarham, tapi tak jumpa. Sampailah polis datang ke rumah esok maklumkan jumpa mayat dan motosikal adik di sungai itu," katanya.

Aini berkata, sebagai anak bongsu daripada lima adik-beradik, Allahyarham sangat manja dan rapat dengan semua ahli keluarganya.

"Seminggu yang lepas, dia berubah jadi sangat ceria dan suka bergurau dengan ahli keluarga yang lain terutama dengan anak-anak saudara.

"Sehinggakan emak kami (Mahani Mt Akim, 66) pun pelik, kenapa adik nampak ceria dan suka mengusik.

"Mungkin itu petanda yang dia akan pergi tinggalkan kami sekeluarga," katanya.

Katanya, jenazah adiknya selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi kelmarin di Masjid Kampung Sungai Baru, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mayat Aina disedari seorang pemancing apabila mata kailnya tersangkut pada pakaian mangsa kira-kira jam 11.51 malam.

Hasil siasatan, pihak polis kemudiannya berjaya menahan teman lelaki mangsa pada Ahad lalu.

Berdasarkan pengakuan awal, suspek mengaku berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa sebelum mereka terjatuh ke dalam sungai.

Bagaimanapun, suspek berjaya menyelamatkan diri dan tidak memaklumkan kepada orang ramai tentang mangsa yang disyaki lemas.